MENJALIN hubungan dengan remaja bawah umur adalah satu jenayah, kepercayaan terhadap golongan pendidik akan musnah begitu sahaja!”
Demikian respons pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim sekali gus menyelar kes seorang guru wanita didakwa menjalin hubungan cinta atau ‘child grooming’ dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Sarimah, 46, yang juga jurucakap Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empati Malaysia berkata, situasi sebegitu tidak seharusnya berlaku terutama apabila melibatkan golongan guru yang diberi kepercayaan oleh ibu bapa untuk menjaga dan mendidik anak mereka.
“Mereka adalah orang dewasa yang sepatutnya bertanggungjawab dan matang apabila diberi kepercayaan untuk menjaga anak kita.
Sepatutnya mereka perlu menjaga batas dalam pergaulan dengan pelajar sendiri dan tidak boleh melanggarnya kerana semua itu boleh memusnahkan kepercayaan dan keyakinan yang ibu bapa berikan selama ini.
“Kalau golongan pendidik atau profesional sudah lakukan perkara sebegini, dengan siapa lagi kita harus percaya?” katanya kepada HibGlam hair ini.
Dalam pada itu, dia berpendapat masyarakat perlu memandang serius isu sebegini kerana bimbang merosakkan masa depan golongan muda yang belum matang untuk menghadam makna sebenar kehidupan.
Orang ramai tak boleh anggap kes sebegini remeh sebab ini bukan cerita drama atau telenovela sebaliknya realiti yang negatif.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya membesar dalam keadaan trauma termasuk masalah kesihatan mental atau fizikal yang memberi impak negatif terhdap masa depan mereka,” katanya.
Dia yang popular menerusi drama Lelaki Itu menegaskan remaja bawah umur yang menjalin hubungan cinta tidak seharusnya dipersalahkan kerana dianggap masih belum matang dalam membuat sebarang keputusan.
Apabila ada kes sebegini, kita jangan terus menjatuhkan hukum sahaja. Orang dewasa itu yang bersalah sebab pemikiran remaja tersebut masih dalam proses berkembang dan belum matang.
“Mereka yang sudah kahwin dan berkeluarga perlu bijak bezakan buruk atau baik. Mereka terfikir atau tidak kalau perkara sebegitu berlaku kepada anak sendiri?
Justeru, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi anak-anak dan jangan mudah mempercayai mana-mana individu yang menjaga anak mereka,” jelasnya.
Terdahulu, tular dalam aplikasi X seorang pengguna mendedahkan perlakuan tidak bermoral seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Menurut hantaran itu, pendidik yang juga ibu lima anak tersebut sudah beberapa kali mendekati pelajar tersebut sehingga laporan polis terpaksa dibuat selain memfailkan aduan ke Pejabat Pendidikan Daerah.
Tidak terhenti di situ, rakaman video mereka berdua-duaan di sebuah pantai turut tular dalam media sosial.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan mmenerima laporan daripada keluarga remaja lelaki berkenaan dan kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut. – HIBGLAM