MEMULAKAN kerjaya dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 1985 dengan membawakan lagu Rindu, nyanyian asal Hetty Koes Endang, susuk bernama Ramlah Ram itu tidak perlu diperkenalkan lagi.
Menyelak helaian kamus seninya, populariti penyanyi dengan vokal lantang, nyaring dan tinggi itu memuncak selepas muncul dengan lagu Sabarlah Sayang, diikuti antem ‘berhantunya’, Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu.
Semasa penghujung 1980-an, Ramlah boleh dianggap sebagai antara penyanyi wanita terbilang dengan meraih banyak kemenangan dalam pelbagai pertandingan, antaranya Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Industri Muzik.
Bahkan, namanya turut tercatat dalam Malaysia Book of Records, menerusi dua pencapaian masing-masing untuk Anugerah Artis Melayu Pertama menerima Platinum Kembar Lima menerusi album Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, yang terjual lebih daripada 350,000 unit dan Anugerah Album Melayu Pertama mencapai hasil jualan tertinggi, menerusi album sama.
Meniti usia 60 tahun, Ramlah masih terlihat cergas dan sihat.
Malah, figura bertubuh genit itu masih lagi aktif menjalani kehidupan sebagai anak seni dan ligat memenuhi undangan untuk membuat persembahan pentas.
Peluang HibGlam bertemu dengan anak jati Johor itu di sebuah majlis hiburan baru-baru ini, merungkai kegiatannya sepanjang Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba nanti.
HIBGLAM: Apa khabar Ramlah? Sempena menyambut bulan Ramadan, boleh anda kongsikan aktiviti sepanjang bulan puasa nanti?
RAMLAH RAM: Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, saya akan pastikan tidak terlepas untuk menunaikan solat sunat tarawih pada malam pertama.
Kalau tidak sempat ke masjid, saya akan lakukannya di rumah sahaja. Cuma puasa tahun ini, saya agak sibuk memenuhi jemputan persembahan ketika majlis berbuka puasa.
Saya anggap itu adalah rezeki ketika Ramadan. Saya akan membuat persembahan seperti di majlis berbuka puasa bersama anak yatim atau majlis-majlis amal.
Mungkin sesetengah artis akan jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berehat panjang. Niat saya memang mahu juga berehat dan tumpukan pada ibadah. Cuma bila ada jemputan, saya tidak boleh menolaknya kerana itu rezeki.
Apakah kenangan atau momen paling diingati antara sambutan puasa antara dahulu dengan sekarang?
Kalau dahulu, mestilah ketika itu saya masih muda. Tenaga pun lain. Tapi kalau tanya saya beza antara puasa dahulu dengan sekarang, saya lebih suka berbuka di rumah sebenarnya berbanding di luar. Melainkan kalau terpaksa, seperti memenuhi jemputan, barulah saya akan berbuka di luar.
Kalau berbuka di rumah pun, saya akan berbuka dengan juadah yang sederhana sahaja. Paling penting kena ada kuih karipap.
Boleh kongsikan antara juadah kegemaran anda ketika berbuka dan bersahur?
Kalau dahulu, setiap kali waktu berbuka puasa memang teringin nak makan macam-macam. Tapi sekarang saya tidak kisah lagi. Saya lagi suka masak sendiri di rumah, melainkan kalau tidak sempat.
Kalau goreng telur dan makan bersama kicap pun sudah memadai. Begitu juga dengan sahur. Saya tidak fikir sangat tentang makanan. Cukup segelas susu dan kurma.
Tapi apa yang penting, kuih karipap wajib kena ada. Kalau tak beli, saya akan buat sendiri karipap, dan sejuk bekukan. Sebab kadang-kadang tekak teringin nak makan karipap inti daging.
Bagaimana pula dengan rutin persiapan menyambut Aidilfitri? Boleh kongsikan?
Untuk persiapan raya selalunya saya tidak kisah pasal pakaian baharu. Apa yang saya pentingkan adalah baju untuk ibu saya. Sebab saya masih ada lagi mak di kampung.
Jadi setiap tahun memang saya akan fikir pasal baju ibu sahaja, berbanding pakaian sendiri. Untuk saya, kalau ada pakaian yang pernah dipakai ketika membuat persembahan televisyen dan masih elok, saya akan pakai untuk hari raya.
Jadi memang tidak pernah fikir nak pakai baju warna apa, berapa pasang. Tak pernah sebab saya okey kalau pakai baju-baju yang pernah dipakai sebelum ini.
Anda sendiri mempunyai lagu raya sendiri seperti Hari Raya Hari Bahagia dan Cahaya Aidilfitri. Kongsikan pendapat anda, tentang lagu raya ‘evergreen’ lebih menusuk ke dan kekal relevan ?
Kali terakhir saya keluar dengan lagu raya adalah pada dua tahun lalu menerusi lagu bertajuk Kemenangan.
Pendapat saya, apa yang membuatkan lagu raya itu lebih melekat dan kekal diminati sehingga sekarang, kerana lagu-lagu raya dahulu ada unsur-unsur kemelayuan. Itu yang membuatkan karya itu bertahan lama.