Angeline Tan menunggu Ramadan terindah

HIDUPNYA berubah 180 darjah. Itu yang dilalui Angeline Tan sejak mengucap dua kalimah syahadah, memeluk agama Islam sekitar September tahun lalu sebelum kembali mendirikan rumah tangga pada tanggal 13 Oktober 2023.

Bukan satu perjalanan mudah buat seorang mualaf sepertinya, namun Angeline melalui kelana baharunya dengan sejuta bahagia di samping suami tercinta yang juga anak seni otai, Sabri Yunus.

Manisnya tahun ini, pemilik nama Islam, Ardini Angeline Tan itu bakal berpuasa sepenuhnya, menyambut Ramadan buat pertama kali sejak memeluk Islam.

Ramadan kali ini, mahu dirainya dengan sederhana, namun dibumbui momen indah bersama keluarga.

Ramadan

Meskipun baru pertama kali, aktres berusia 57 tahun yang manis berjubah rona merah pada sesi fotografi itu berkata, dia sebenarnya sudah mempraktikkan ibadah berpuasa pada tahun lalu sebelum memeluk Islam.

“Ini Ramadan pertama saya selepas peluk Islam dan memang sangat teruja sebab bulan mulia yang paling dinanti-nanti ramai.

“Sebelum ini memang pernah berpuasa tetapi hanya menahan lapar dan dahaga sahaja. 

“Selepas belajar berpuasa tahun lalu, saya mula seronok dan tidak menyangka tahun ini akan beri pengalaman berbeza,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dramatis yang pernah menjulang nama menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga mahu ‘merayakan’ Ramadan dengan melakukan pelbagai aktiviti bermakna dengan keluarga yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Bagi saya, Ramadan akan lengkap dengan kehadiran seluruh keluarga dan menunaikan solat berjemaah bersama-sama termasuk menjalankan semua yang patut dilakukan pada bulan puasa.

“Pastinya tahun ini memang akan banyak momen indah bersama sebab dapat bersahur, ke bazar Ramadan dan sebagainya. 

“Sebab itu saya sudah lama bergaul dengan orang Islam sebelum ini untuk lihat pengalaman mereka dan nampaknya kali ini Tuhan beri rezeki untuk saya sendiri melaluinya.

Ditanya lanjut Ramadan yang dilihat sebagai bulan mengawal nafsu dan diri seseorang daripada perkara negatif lain.

“Bulan puasa juga bagi menjaga mulut mata dan mengawal segala-galanya.

Sebenarnya benda ini patut dipraktikkan setiap hari.

“Setiap hari kita patut fikir perkara yang baik-baik dan harus lebih ‘extra’ berjaga-jaga dalam semua hal,” ujarnya.

Ditanya sama ada Sabri mengajarnya secara mendalam mengenai puasa, dia berkata suaminya akan membiarkan sahaja dia melalui segala perkara tersebut sendiri.

“Sabri tak pernah ajar dan memberi saya peluang melalui semua pengalaman itu sendiri.

“Contohnya seperti saya memeluk agama Islam sebelum ini, semuanya mengalir. Saya belajar dan kutip pengalaman daripada sekeliling,” tuturnya.

Sifar tawaran

Di sebalik teduh jiwa menjelang Ramadan, Angeline sempat berkongsi sedikit kesedihan di jiwa saat memikirkan tiada satu pun tawaran menjengah mengisi jadual seninya sejak mula bergelar mualaf dan berhijab.

“Saya memang sedih dan kecewa sebab tiada tawaran kerja. Itu minat dan periuk nasi yang saya kerjakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka perkara ini terjadi sejak saya kahwin dan memeluk Islam ditambah pula melakukan perubahan dengan berhijab sebegini, terus tiada tawaran,” tuturnya.

Mencari titik kemungkinan, wanita bermata bundar itu berpendapat situasi tersebu terjadi mungkin disebabkan kurang watak atau naskhah yang sesuai untuknya.

“Bagi segelintir pengarah, penerbit tiada watak yang sesuai dengan saya kecuali sebagai seorang mualaf. 

“Mereka tidak tahu mencipta watak untuk saya sebab sangat terhad.

“Sabri ada cakap dan pujuk bahawa semua ini aturan-Nya. 

“Kata abang (panggilan buat Sabri), Tuhan tidak pernah kejam dan sentiasa yakin dengan rezeki.

“Tidak mengapalah, saya hanya boleh berharap dan berdoa. Mungkin ini ujian Allah SWT,” jelasnya.

Hijab

Hilang tawaran lakonan dek hijab yang tersarung di kepala, ironinya Angeline sangat seronok dengan imej baharunya. Dia langsung tiada istilah sesal.

“Berhijab adalah bagus, saya seronok. Daripada tak tahu langsung, sekarang sudah mampu pakai tudung sendiri.

“Cantik atau tidak, terpulang kepada masing-masing tetapi paling penting bukan dipaksa.

“Saya sangat selesa sehingga anak- anak (yang bukan beragama Islam) pun suka tengok saya bertudung. Saya jelaskan kepada mereka bahawa menutup aurat adalah wajib sebagai orang Islam. Ini juga bukan imej ‘extremist’,” ujarnya.

Bercerita tentang transisi hijrah imejnya, Angeline belajar cara pemakaian hijab dalam tempoh lima bulan secara perlahan-lahan sejak September tahun lalu.

“Awalnya agak ‘struggle’ ditambah dengan cuaca panas dan pemilihan anak tudung yang salah sampai rasa pekak.

“Semuanya saya belajar dalam tempoh yang singkat. 

“Sepanjang tempoh lima bulan saya okey dengan imej begini dan suami pun tak pernah paksa tetapi saya lakukan dengan kerelaan hati sendiri,” ujarnya mengakhiri perbualan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok