PELAKON Rita Rudaini berang dengan sikap segelintir netizen yang bersimpati dengan bekas suaminya iaitu pemain bola sepak, Aidil Zafuan selepas dia meluahkan rasa rindu terhadap dua orang anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin serta Airit Qaqa Arjuna.
Lebih membuatkan Rita ‘panas hati’ apabila dia diminta untuk memberi peluang kepada Aidil untuk bertemu dengan dua orang anaknya.
Menerusi komen yang ditinggalkan seorang pengikutnya dalam Instagram, seorang peminat berkata, dia sedih apabila Aidil ada menyebut nama anak-anaknya (Rayyan dan Qaqa) dan percaya sebagai bapa, sudah tentu lelaki itu amat menyayangi anak-anaknya.
Tadi masuk ‘live’ Aidil. Sedih sangat saya rasa dia sayang anak-anaknya. Ayden (anak Aidil bersama isteri sekarang) pun kenal abang-abangnya. Siap sebut nama abang Airit Rayyan dan Airit Qaqa.
“Tak ada bapa yang tidak sayangkan anak. Bagilah peluang pada mereka untuk bertemu. Sedangkan Nabi pun ampunkan umatnya,” tulis seorang netizen.
Tidak berdiam diri, Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, membidas komen tersebut apabila menyifatkan individu terbabit telah terpedaya dengan ‘lakonan’ bekas suaminya, hanya gara-gara lelaki itu menyebut nama kedua-dua orang anaknya.
Eh! Hello dik. Awak tak payah buat tahu sangat. Kena kencing (tipu). Hancinglah! Setakat sebut nama, saya pun boleh sebut nama anak Ronaldo, anak Beckham. Nak berlakon apa depan orang? Awak pun bukannya buta,” balas Rita.
Tambah pelakon filem Mistik itu lagi, jika benar bekas suaminya itu sayang dengan anak-anaknya, dia tidak mungkin mengabaikan mereka sejak kecil dan membiarkan dirinya membesarkan anak-anak seorang diri.
“Aku yang bela sorang-sorang dari kecil. Sakit, demam, suka, duka, sekolah, raya, makan dan minum aku tanggung seorang diri!
“Kalau rasa ‘anak’, kenapa tak jaga, ambil tahu dari kecil ketika aku jaga basuh berak mereka? Anak-anak sakit satu Malaysia tahu. Kenapa tak pernah tanya khabar? Cakap senang.
Jangan nak datang tambah sakitkan hati aku, ibu yang 14 tahun jaga anak sorang-sorang,” katanya.
Pada masa sama, pelakon asal Kangar, Perlis itu juga dengan tegas tidak mengizinkan anak-anak bekas suaminya (adik tiri) untuk memanggil anaknya dengan gelaran abang.
Menerusi komen berbeza, Rita turut menbidas kenyataan seorang lagi netizen apabila memintanya untuk membuang ego dan rasa dendam, selepas mendakwa pelakon itu diberi ujian oleh Allah SWT dalam tempoh yang cukup lama.
“Awak tak terfikir ke kenapa Allah SWT bagi ujian terlampau lama? Di kala kita perlu buangkan ego dan dendam, insya-Allah, Allah akan datangkan kemudahan dari setiap sudut. Percayalah,” komen seorang netizen.
Tidak mengalah, Rita tampil mempertahankan diri apabila menyifatkan kehidupannya hari ini jauh lebih baik dan bahagia selepas berpisah dengan bekas suaminya.
“Hanya Allah sahaja tahu apa yang dia beri pada kami. Nak cakap apa sebenarnya? Ujian apa? Kau nampak apa dalam hidup aku sekarang? Teruk?
“Aku jadi ibu yang jaga anak-anak. Anak-anak aku jadi buruk ke? Kami yang dianiaya. Sebab itu aku kata, kau jangan buat ‘palatau’ (tahu semua perkara) dengan kisah dalam kain orang. Fokus dengan hidup dan masalah sendiri,” katanya.
Terdahulu, Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada September 2013. – HIBGLAM