Ajai tolak berduet dengan bekas isteri, Nourul Depp

TIADA lagi keserasian dan keikhlasan, penyanyi Ajai mengakui sukar untuk bergandingan semula dengan bekas isterinya, Nourul Wahab mendendangkan lagu duet popular mereka atas satu pentas.

Ujar Ajai atau nama lengkapnya Mohd. Faizal Maas, 49, setiap persembahan duet memerlukan penjiwaan dan itu tidak lagi wujud antara mereka berdua.

Jujur saya cakap memang susah, pada saya apa yang berakhir biarkan berakhir dan saya mempunyai pendirian, bukannya tidak profesional tetapi apabila bekerja sebagai penyanyi kita perlu keserasian dan keikhlasan.

“Bukan saya marah atau belum melupakan kisah lama cuma persembahan duet memang memerlukan rasa dan penjiwaan mendalam supaya orang dengar pun berkesan di telinga mereka.

“Sejujurnya saya sudah tiada lagi rasa itu dan enggan memaksa perasaan tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, Ajai berkata, hubungannya dengan Nourul tidak dilanda masalah, sebaliknya masih baik-baik sahaja demi anak perempuan mereka iaitu Ayu Nazirah.

Pun begitu, pelantun lagu Aduh itu mengakui komunikasi antara mereka berdua semakin berkurangan memandangkan permata hati mereka kini sudah dewasa serta semakin berdikari.

Saya cakap macam ini bukan sebab saya gaduh dengan Nourul tetapi tidak mustahil kalau mungkin suatu hari nanti saya lebih sedia, ke depan hari kita tak tahu.

“Hubungan kami pun tiada sebarang masalah, tetapi Ayu kini sudah bekerja berbanding dulu ketika dia kecil kami banyak berkomunikasi kerana menjaganya secara bergilir.

“Masing-masing kini sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga, jadi kami masih berhubung pun kerana anak, tidak lebih daripada itu,” katanya pada sidang media konsert Ajai and Mega Friends, semalam.

Ajai dan Nourul pernah mendirikan rumah tangga pada 1996 dan kemudian bercerai pada tahun 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 25 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok