Aisha Retno ‘terbang’ 30 kaki di pentas AJL

PENYANYI Aishah Retno mengejutkan penonton apabila ‘terbang’ setinggi 30 kaki di tengah gelanggang Axiata Arena sebelum mengakhiri lagu Sutera di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38), malam ini.

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, yang mengenakan persalinan serba putih bak puteri Jawa itu menutup persembahannya dengan penuh bergaya.

Tampak tenang biarpun jarak ketinggian antara pentas dengan siling Axiata Arena dilihat sangat tinggi sehingga mengundang rasa gementar 8,000 penonton.

Kesungguhan serta keberanian penyanyi yang turut bertindak selaku komposer dan penulis lirik Sutera bersama MFMF itu meraih sorakan ramai.

Sebelum ini Aisha hanya mendedahkan bakal menyuntik elemen budaya masyarakat Jawa bersesuaian konsep lagu dipertaruhkan iaitu etnik kreatif.

Turut menggamit perhatian adalah gaya kelab peminat penyanyi itu, Aishalicious yang hadir beramai-ramai menggayakan persalinan mengikut konsep serupa.

Difahamkan penyanyi yang terjun ke arena muzik perdana sejak 2018 menaja separuh daripada lengkapan pasukan Aishalicious, selain membeli 50 tiket untuk mereka.

Selain Sutera, lagu lain yang mara ke pentas akhir adalah Santai (Naqiu), Inilah Jalannya (Masdo), Astana (Ernie Zakri), Darah (Marsha Milan) dan Kalam (Shiha Zikir).

Lagu lain adalah Hasrat (Amir Jahari), Ku Cuma (Wany Hasrita & Afieq Syazwan), Bintang (Hael Husaini), Waktu (Ziana Zain & Hasif Upin) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali). – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok