Aina Abdul pengkarya bijak, lagunya menyentuh jiwa – Ziana Zain

AINA Abdul komposer dan penyanyi bijak, dia tahu apa orang suka,”

Itu kata penghibur terkenal, Ziana Zain yang mengakui kagum dengan kelebihan Aina Abdul yang disifatkan sebagai anak seni genius.

Ujar Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain, 56, lagu masa kini sukar menyentuh perasaannya namun berbeza dengan karya-karya Aina yang mampu melekat di jiwa.

“Melodi lagu dulu sangat kuat sampai melekat dalam hati, setiap bait lirik sangat mendalam, berbeza dengan lagu sekarang, macam angin lalu sahaja. Sebab itu saya susah mahu keluarkan lagu baharu kerana tidak dapat karya berkualiti.

Tapi kita sudah ada penyanyi sekarang yang sangat bagus, dia kaji lagu dan melodi era 90-an selain suntik pembaharuan dengan elemen irama zaman sekarang.  Apabila diterbitkan, melekat di jiwa saya.

“Penyanyi tersebut adalah Aina Abdul, dia komposer dan penyanyi bijak, tahu apa orang suka. Tengok saja album Imaji, semua lagu bagus,” ujarnya menerusi audio siar Studio Sembang yang dihoskan Amelia Henderson.

Senada dengan Ziana, semakan HibGlam menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen berpendapat pelantun lagu Terus Hidup itu hadir dalam industri dengan senjata lengkap baik dari segi vokal, persembahan mahupun fesyen digayakan.

“Saya bukanlah peminat tegar Aina Abdul tetapi betul kata Ziana Zain, lagu-lagu yang dihasilkan sangat berkualiti dan bukanlah sekadar siapkan album. Kita perlukan ramai orang macam dia supaya industri seni tidak ketandusan karya berat, moga menang AJL lagi,” komen netizen.

“Satu penghormatan untuk Aina apabila seorang legenda berkata begitu. Dia selayaknya berada di tempatnya sekarang selepas bekerja keras untuk meletakkan diri dalam industri, perjalanannya tak mudah,” demikian komen seorang netizen lagi.

Sebelum ini, Ziana yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah pernah menyatakan hasrat ingin berduet atau berkongsi pentas dengan Aina Abdul sekiranya diberi peluang.

Tidak hanya itu, dia juga berbesar hati sekiranya dapat menyanyikan lagu ciptaan Aina kerana mengakui karya sentuhan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu sangat dekat dan serasi dengan jiwanya. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok