DEMI memberikan fokus terhadap pengubahsuaian rumah baharu, pelakon Aiman Hakim Ridza terpaksa menolak tawaran berlakon hampir setengah tahun.
Perkara itu disebabkan Aiman atau nama lengkapnya, Aiman Hakim Ridza, 35, menguruskan sendiri hal projek pembinaan itu selepas tidak berpuas hati dengan hasil kerja kontraktor.
Sebenarnya kami sudah lama berpindah ke rumah baharu cuma baru sekarang berpeluang buat pengubahsuaian.
“Saya buat sendiri kerana mula-mula ada kontraktor tetapi saya agak kecewa dengan hasil kerja pihak berkenaan.
“Saya pun ada pengetahuan mengenai pengubahsuaian rumah, jadi saya usahakan sendiri dan tidak ambil mana-mana tawaran berlakon,” katanya kepada HibGlam semasa pelancaran koleksi raya Clarks With Zahirah di The Exchange Mall (TRX), Kuala Lumpur, semalam.
Selain itu, suami kepada aktres Zahirah Macwilson itu lega akhirnya dapat memberikan keselesaan buat keluarga kecilnya sebelum memasuki bulan Ramadan.
Saya sepatutnya terlibat dengan beberapa projek sehingga selepas raya tetapi menolak selagi rumah tidak siap kerana memikirkan keutamaan keluarga.
“Apabila siap, hilang semua tekanan. Mereka pun masuk rumah dalam keadaan selesa,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai kerugian yang ditanggung, Aiman enggan membawa isu tersebut dalam media sosial sehingga memperbesarkan isu.
Tidak boleh dinafikan ada kerugian tetapi itu bukan penting kerana kami dapat selesaikan. Mereka juga ada perkembangan semasa bekerja walaupun tidak dibuat dengan baik.
“Apa-apa masalah dalam hidup berbalik kepada diri sendiri. Media sosial bukan jalan terbaik untuk meluahkan segalanya.
“Tiada keuntungan kalau kita berkongsi dalam media sosial kalau benda sepatutnya tidak berjalan,” ujarnya pelakon drama Curi-Curi Cinta itu.
Sebelum ini, Aiman dan Zahirah rancak memuat naik perkembangan keadaan rumah baharu yang masih dalam pengubahsuaian. – HIBGLAM