PERNAH menolak permintaan menggantikan Datuk Jamal Abdillah, Afieq Shazwan mengakui luahan penyanyi Wany Hasrita yang terdetik mahu menarik diri dari Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) mendorongnya menyahut cabaran.
Pemilik nama Mohammad Shafieq Shazwan Zamros itu merasakan dirinya tidak layak mengisi tempat ditinggalkan Raja Pop itu sebagai teman duet Wany Hasrita membawakan lagu Kucuma sekali gus enggan menerima pelawaan tersebut sebelum ini.
“Apabila FMC Music maklumkan saya dipilih menggantikan Datuk Jamal Abdillah, terus bulu roma meremang sebab ini bukan calang-calang permintaan.
Sejujurnya saya rasa tak layak dan mencadangkan beberapa nama lain. Namun, ketika itu Wany ada sebut mungkin terpaksa tarik diri kalau masih tak dapat rakan gandingan.
“Selepas empat hari berfikir, selain sudah serasi dengan Wany sejak kami bernaung di bawah syarikat rakaman sama, akhirnya saya terima,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan AJL38 di Axiata Arena, malam tadi.
Akui penyanyi dan pelakon itu, menjejakkan kaki buat pertama kali di pentas AJL mencetuskan tekanan berbeza apatah lagi menggantikan posisi penghibur bertaraf legenda, namun kini dia semakin positif.
“Sebelum ini saya hanya mampu sampai ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik, jadi peluang ini saya anggap rezeki sekali gus amanah berharga untuk digalas dengan sepenuh hati.
Sebenarnya perasaan saya kini bercampur-baru antara teruja dan gementar tetapi dengan sokongan Wany serta orang sekeliling, saya semakin bersemangat menantikan detik itu.
“Apa-apa pun saya akan jalankan tanggungjawab menyampaikan lagu komposer Ezra Kong dan A Ramlee ini sebaik mungkin. Kalau orang buat perbandingan dengan penyanyi asal, itu terpulang,” ujarnya.
Selain Kucuma, lagu lain bakal berentap di pentas AJL38 di Axiata Arena 3 Februari ini adalah Hasrat, Jangan Mati Rasa Itu, Kalam, Darah, Sutera, Astana, Waktu, Inilah Jalannya, Santai dan Bintang. – HIBGLAM