TAK sangka ada rasa cemburu dengan arwah Siti Sarah dalam mimpi.”
Demikian antara yang dikongsi isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib iaitu Watie Hanifiah mengenai kehadiran Allahyarham Siti Sarah dalam mimpinya baru-baru ini.
Menurut Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 36, perasaan cemburu dirasainya dalam mimpi tersebut kerana bimbang arwah mahu mengambil semula haknya iaitu suami dan anak-anak.
Jelasnya, mimpi tersebut mungkin tercetus selepas anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra memberitahu bermimpi tentang arwah Siti Sarah.
Baru-baru ini saya ada mimpikan arwah. Dalam mimpi itu hanya ada saya, arwah dan abah (Raisuddin Hamzah).
“Arwah hanya berdiam diri dan lihat saya. Dalam mimpi itu, wujud satu perasaan risau adakah dia kembali untuk ambil semula haknya iaitu Shuib dan anak-anak.
Masa itu memang dalam hati rasa begitu tetapi saya sorok perasaan itu sebelum tegur dan tanya kepada arwah, ‘Tak mahu jumpa anak-anak ke? Mereka rindu’. Arwah tak balas tetapi hanya memandang sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sini, semalam.
Akuinya yang juga seorang usahawan, perasaan cemburu terhadap arwah tidak pernah terbit dalam hatinya dan itu pertama kali dirasai namun bersyukur hanya sekadar dalam mimpi.
“Itu pertama kali saya terfikir bahawa dalam mimpi pula ada perasaan bimbang itu.
“Dalam hati terdetik risau dia kembali nak ambil semua semula tetapi itu semua hanya mimpi.
“Dalam kehidupan sebenar tak cemburu tapi dalam mimpi pula cemburu,” ujarnya.
Akui Watie, dia mengambil masa beberapa hari untuk berkongsi tentang mimpi tersebut dengan Shuib
Selepas saya cerita kepada Shuib dan tanya dia kalau disuruh buat pilihan, dia pilih siapa? Dia hanya diam dan kata mengarut sahaja.
“Kemudian kami berborak banyak benda mengarut, bergelak ketawa tapi jangan risau semuanya okey sahaja,” katanya lagi.
Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah Raissuddin pada 2011, namun penyanyi itu meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Talita Zahra, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Shuib berkahwin dengan Watie pada pada Jun 2023 setelah mendapat restu daripada semua pihak termasuk anak-anaknya. – HIBGLAM