BERADA di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah idaman hampir semua penggiat industri muzik.
Tidak kiralah penyanyi, komposer, penulis lirik mahupun siapa sahaja di belakang tabir sesebuah pembikinan lagu, momen AJL menjadi ruang kemuncak paling berprestij untuk mengiktiraf karya terbaik sepanjang tahun.
Penyanyi Khai Bahar tidak terkecuali berasa bertuah apabila berpeluang ke pentas dambaan ramai penyanyi tersebut ketika tahun kedua pembabitannya di persada nyanyian.
Lebih manis, bukan sekali dua lagu nyanyian pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu mara sebagai finalis. Jika dihitung secara keseluruhan, sudah lima kali dia menyertai pertandingan anjuran TV3 tersebut.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki komposer serta penulis lirik yang menghasilkan naskhah hebat dan saya selaku penyanyi hanya menggalas amanah menyampaikan lagu tersebut dengan baik.
“Apabila dendangan kita layak berada dalam senarai 12 karya terbaik untuk sepanjang tahun itu sudah semestinya kita raikan pencapaian dengan seluruh pendengar.
“Pentas AJL adalah sebuah gelanggang mega bagi menghargai seluruh karyawan terutama penggubah dan penulis seni kata yang mendorong saya berikan sepenuh jiwa pada malam ini,” katanya kepada Pose.
Serangan panik AJL33
Rancak membuat persediaan bersama teman duet bagi lagu Selagi Ku Ada iaitu Nabila Razali sejak sebulan lalu, akui Khai malam ini adalah detik penentuan.
Begitupun, dia enggan membuatkan diri tertekan seperti yang berlaku ketika edisi ke-33, ketika mendapat serangan panik. Khai hampir terduduk dek segala perancangan awal menjadi serba tidak kena.
“Saya masih ingat sekitar tahun 2019 ketika saya mara ke akhir membawa lagu Luluh dengan persediaan cukup rapi, namun sebaik naik pentas saya mendapat ‘panic attack’.
“Bayangkan ketika itu semua yang ada dalam kepala jadi kosong, jantung berdebar dan pandangan seolah-olah gelap, semua perancangan punah.
“Memang saya tak boleh lupakan detik itu, bahkan dari situ baru saya sedar anxiety atau kebimbangan melampau ini perlu didedahkan agar kita dapat cari solusi, bukan dipendam sendiri,” luahnya.
Selain Luluh, kemaraan Khai di pentas kemuncak AJL sebenarnya bermula dengan Bayang pada AJL32, Luluh (AJL33), Nafas Cinta (AJL36), Sengsara (AJL37) dan Selagi Ku Ada (AJL38).
Bercakap tentang gandingan bersama Nabila Razali pada malam ini, Khai berjanji, mereka akan cuba memberikan persembahan yang dapat meninggalkan memori buat penonton.
“Persaingan memang hebat belaka, tapi siapa tak nak menang cuma kami mahu lebih fokus terhadap persembahan terbaik berbanding merisaukan hal tidak perlu.
“Saya pun yakin Nabila akan berikan persembahan terbaik dan tak risau soal vokal kerana dia menunjukkan peningkatan yang sangat baik.
“Sejujurnya saya lebih suka berduet berbanding tampil solo, terutama di pentas besar seperti AJL38 bagi mengelakkan rasa gugup muncul.
“Beraksi dengan pasangan duet boleh hilangkan gentar,” luahnya.
Berkongsi persediaan dengan Nabila, Khai berkata, fokus kali ini adalah memberikan persembahan terbaik.
“Siapa tak nak menang dan kali ini kami memberikan fokus terhadap elemen penting dalam persembahan terbaik.
“Saya yakin Nabila juga akan berikan sehabis baik pada malam tersebut, bahkan saya tak risau pun soal vokal kerana dia menunjukkan peningkatan yang sangat baik.
“Paling penting kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, selebihnya kita serahkan kepada Allah dan tawakal,” ujarnya lagi mengenai seleksi ciptaan Amylea Azizan itu.
Peminat jadi penjaga
Menurutnya lagi, dia bertuah apabila gangguan emosi yang bertahun-tahun dilalui semakin pulih hasil rawatan, doa dan sokongan insan sekeliling termasuk peminat.
Penyanyi berusia 29 tahun itu juga mengakui sepanjang tempoh terjun ke arena hiburan, kelompok peminat iaitu Khai Bahar Empire menjadi penjaga setia.
“Saya bertuah mempunyai penyokong kuat yang menyuntik semangat tidak kira ketika saya dapat menjulang trofi mahupun pada ketika saya berada pada fasa terendah.
“Mereka juga yang memberi teguran andai saya nyaris tersasar, kiranya mereka menjaga saya, bukan saya jaga mereka atau pastikan penyokong ini tetap ada kerana keikhlasan mereka tiada syarat.
“Macam kemenangan serta penyertaan dalam mana-mana pertandingan serta acara, mereka juga sentiasa mendoakan saya.
“Selain keluarga, Khai Bahar Empire besar maknanya bagi saya secara peribadi,” ujarnya dalam nada sayu.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.