SIAPA sangka, selain berbakat dalam bidang lakonan ataupun nyanyian, ada selebriti Korea Selatan sebenarnya mempunyai kecenderungan hebat dalam arena sukan.
Selain impak diet ketat, kelebihan dimiliki menjadikan rata-rata artis negara kimchi itu mempunyai bentuk fizikal ideal. Biarpun dihambat kesibukan aktiviti seni, bersukan tetap menjadi rutin hidup mereka.
Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa selebriti Korea Selatan yang dilihat mempunyai obsesi terhadap sukan pilihan masing-masing. Menariknya, ada dalam kalangan mereka bukan sekadar amatur.
Lee Si-young (Tinju)
Rancak memenuhi jadual lakonan, si cantik Lee Si-young sebenarnya kerap menyertai latihan biarpun berstatus petinju amatur.
Pada awalnya, dia mengambil bahagian dalam sukan tersebut demi watak dalam sebuah drama pada 2010.
Atas masalah teknikal, drama tersebut tidak dapat diterbitkan tetapi pemilik nama asal Lee Eun-rae itu jatuh hati terhadap sukan tinju.
Selepas menyertai pelbagai pertandingan, pelakon filem No Mercy itu terpaksa bersara daripada sukan tinju kerana kecederaan di bahu akibat terkehel pada September 2015.
Kim Soo-hyun (Boling)
KIM Soo-hyun merupakan seorang pelakon, model dan penyanyi berbakat besar.
Namun, ada satu bakat cemerlang lain yang tidak diketahui ramai tentang Soo-hyun iaitu bermain boling.
Dia sangat meminati sukan berkenaan sehingga sanggup bertanding dalam kejohanan boling profesional sekali gus membuktikan kemahirannya.
Difahamkan, hero It’s Okay To Not Be Okay itu kerap membuat purata permainan dengan skor lebih 200.
Yeri (Pilates)
DALAM kalangan selebriti Korea Selatan, penyanyi kumpulan Red Velvet, Yeri terkenal dengan gelaran ‘Dewi Pilates’.
Pemilik nama lengkap Kim Ye-rim itu juga sering berkongsi aktiviti pilates dalam Instagramnya.
Dalam satu temu bual media, plantun lagi Feel My Rythym itu mendedahkan, senaman fizikal dapat mengubah gaya hidup dan menjadikan dirinya lebih sihat.
Selain mempunyai tubuh badan sihat, Yeri akui pilates membantu kesihatan minda untuk berfikiran lebih positif.
Dasom (mendaki)
SERING melakukan aktiviti mendaki sebagai sukan dan hobi masa lapang, penyanyi Dasom ingin digelar ‘pro-hiker’ (pendaki profesional).
Disebabkan minat dalam aktiviti lasak itu, dia sanggup mendaki seorang diri bagi melihat keindahan sesebuah kawasan.
Setiap kali selepas mendaki, pemilik nama lengkap Kim Da-som itu akan menikmati makanan kegemarannya. – HIBGLAM