4 bintang K-pop ‘jatuh’ di puncak populariti

RAMAI menyangka menjual nama selain mempertaruhkan bakat dan paras rupa barangkali sudah cukup untuk segelintir selebriti mendaki puncak populariti dan kekal disitu.

Namun paling penting dalam diri selebriti sebenarnya perilaku dan disiplin yang harus sentiasa terjaga agar terus utuh berkarier dan sukses dalam arena hiburan.

Hakikat dunia seni penuh sepak terajang, ada sahaja selebriti yang sedang memuncak, namun tiba-tiba merudum dek terpalit kontroversi dan kes yang tidak diingini.

Kimchi Panas minggu ini membariskan beberapa selebriti popular Korea Selatan yang kariernya hancur berkecai kerana skandal dan kontroversi dilakukan.

Naeun

Populariti bekas anggota kumpulan April, Naeun sememangnya tidak dapat diragukan pada awal kemunculannya dalam industri seni.

Penyanyi itu terus mendakap tuah apabila disua banyak tawaran dek kecantikan dan bakat yang dimiliki bahkan sentiasa mendapatkan tawaran lakonan dan watak utama dalam drama popular seperti Extraordinary You dan A-Teen.

Ketika masyhur mengecap tuah di kemuncak karier, kerjayanya sedikit demi sedikit merudum dan sendu selepas terjebak dakwaan buli dan menindas anggota lain dalam kumpulannya.

Meskipun menafikan dakwaan tersebut, netizen bagaimanapun dapat menghidu perbuatan sebenar Naeun selepas tularnya beberapa video yang memperlihatkan layanan kasarnya terhadap anggota lain.

Sejak daripada itu, dia jarang muncul dalam program televisyen mahupun menghiasi mana-mana iklan kerana difahamkan telah diboikot umum.

Seungri

SIAPA tidak kenal dengan anggota kumpulan BigBang, Seungri yang sememangnya ‘mendunia’ dan cemerlang melakar pelbagai kejayaan baik menerusi kumpulan mahupun secara solo.

Peramah dan sentiasa tersenyum ketika bertemu peminat, siapa sangka jejaka berusia 33 tahun itu sebenarnya terlibat dalam banyak kes jenayah besar.

Pelbagai dakwaan yang dilayangkan kepadanya termasuklah kes perjudian haram di luar negara, isu pemerdagangan orang dan pelacuran.

Sedang ampuh meledak di puncak kerjaya, jejaka bermata sepet itu terpaksa akur nama dan kariernya kini di ambang kehancuran.

Kim Hyun-joong

Cukup terkenal selepas meledak menerusi drama fenomena Boys Before Flowers dan Playful Kiss, aktor Kim Hyun-joong sempat melalui episod derita dalam kariernya selepas terpalit isu skandal.

Menurut sebuah laporan, aktor tampan itu terlibat dalam penganiayaan dan gangguan seksual terhadap bekas kekasihnya.

Kes itu berlarutan dan mengganggu gugat karier Hyun-joong sehingga kontrak lakonan dan iklan aktor tersebut terpaksa digugurkan.

Enggan karier terus dihanyut badai, lelaki berusia 37 tahun itu kembali bangkit memulakan kariernya daripada bawah. Begitupun, sehingga kini dia belum ditawarkan naskhah mahupun watak yang besar.

Akur dengan keadaan tersebut, Hyun-joong memilih untuk membuka saluran YouTube dan berkongsi rutin serta karyanya melalui platform tersebut.

Son Seung-won

Karier aktor tampan yang cukup sinonim menerusi drama Waikiki, Seung-won pernah merudum selepas terlibat dalam kes langgar lari.

Menurut sebuah laporan, aktor berusia 33 tahun itu didakwa membawa kenderaan tanpa lesen malah lebih teruk keadaannya ketika itu sedang mabuk.

Ketika berlaku kemalangan, dia melanggar tiga buah kereta lain dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Selepas dibicarakan, dia disahkan bersalah dan dijatuhi hukuman enam bulan penjara. Setelah bebas, kariernya terus sendu dan tidak aktif lagi dalam arena hiburan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok