SUHU di Genting Highlands, Pahang bakal meledak pada 2 dan 3 Mac depan apabila lebih 40 bintang antarabangsa bersama karyawan tempatan dengan pelbagai genre muzik dihimpunkan pada Festival Supalapa 2024 bertempat di Resorts World Awana, Genting Highlands.
Acara yang buat julung kali diadakan itu akan dimeriahkan dengan penampilan hebat seperti DJ Tiesto, penyanyi hip-hop Amerika Syarikat, Armani White dan pasangan DJ muzik trance ternama, Cosmic Gate.
Festival yang menggabungkan pelbagai genre muzik termasuk hip-hop, R&B, K-pop serta elektronik itu juga tidak ketinggalan membariskan penyanyi terkenal tanah air seperti Yuna dan Kidd Santhe.
Menurut Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya selaku penganjur, Festival Supalapa disifatkan sebagai penanda aras pesta hiburan di Malaysia yang akan dinanti-nantikan setiap tahun.
“Ini merupakan penganjuran pertama Festival Supalapa dan kami berharap akan menjadi acara yang tahunan yang paling dinanti-nantikan ramai kerana menghimpunkan pelbagai genre muzik.
“Bukan itu sahaja, festival sebegini dilihat mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong luar negara sekali gus menjadi sebuah hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, menghimpunkan lebih 40 penghibur dalam dan luar negara merupakan tarikan utama bagi festival tersebut.
“Bukan mudah hendak kumpulkan penyanyi dan karyawan muzik dalam satu acara besar sebegini seperti Yuna dan Tiesto. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan oleh peminat fanatik mereka.
“Kalau boleh, kami mahu Supalapa menjadi sebuah jenama global untuk festival muzik dan dikenali di seluruh dunia,” katanya lagi.
“Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tetapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja.
Sementara itu, pengarah festivalnya, Addam Al-Maleq berkata, pihaknya juga akan mengambil langkah berhati-hati dan cukup ketat agar acara pertama kali diadakan itu tidak dicemari insiden berbaur kontroversi terutama melibatkan persembahan pentas.
Katanya, Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan barisan artis yang terlibat sudah dimaklumkan mengenai setiap garis panduan ditetapkan.
“Kami memang bekerjasama rapat dengan Puspal dan memandang serius dengan setiap perkara yang dibenarkan atau boleh atau tidak dalam sesebuah acara hiburan.
“Bagi mengelakkan sebarang isu lain, kami juga maklumkan kepada barisan artis terlibat dengan memasukkan kesemua syarat berkaitan di dalam kontrak,” jelasnya.
Bukan sahaja mengenai peraturan, pihak penganjur juga turut menyertakan perjanjian secara bertulis kepada setiap artis yang terlibat agar tidak sesekali melakukan perkara melangggar norma masyarkat.
“Kesemua mereka termasuk penghibur antarabangsa setuju, malah ada perjanjian bertulis bahawa mereka akan mengikut setiap undang-undang ditetapkan kerajaan. Kami tidak mahu sebarang insiden buruk berlaku.
“Semua ini merupakan inisiatif kami untuk meyakinkan para pengunjung bahawa festival ini selamat daripada anasir negatif.
“Setiap perancangan dan proses persiapan dibuat terperinci, melalui banyak kajian dan teliti dalam setiap pemilihan artis,” ujarnya.
Meskipun sudah memberi penegasan mengenai peraturan persembahan kepada para penghibur, pihak penganjur tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan kill switch iaitu menamatkan persembahan serta-merta.
“Sekiranya perkara tidak diingini tetap berlaku, kami memang bersedia dengan kill switch untuk mereka. Itu janji kami,” jelasnya lagi.
Antara nama besar lain yang akan muncul menghangatkan pentas ialah The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic dan Notep.
Bukan sahaja bintang antarabangsa, penghibur tanah air juga turut tidak ketinggalan akan menghiburkan penonton selama dua hari tersebut seperti Siaxse, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski,Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groove. – HIBGLAM