Yasmin Hani, bekas suami dipuji profesional demi anak

“SANGAT profesional ibu bapa begini. Tidak perlu saling berlawan, barulah anak gembira dan besarkan mereka penuh kasih sayang.”

Demikian pujian netizen mengenai hubungan baik pelakon Yasmin Hani dan bekas suami, Shahrin Razali yang bersama-sama menghadiri hari perjumpaan ibu bapa di sekolah.

Biarpun sudah berpisah sejak 2021, Yasmin dan bekas suami yang juga pemuzik itu enggan perceraian memberi kesan kepada dua anak lelakinya iaitu Noah Ismail Wong dan Eissa Elzander Wong.

Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Yasmin Hani Ismail Richardson, 45, mengakui ibu bapa harus melibatkan diri terutamanya dalam pendidikan anak-anak bagi menentukan masa depan yang cerah.

“Alhamdulillah, selesai Parent Teacher Meeting (perjumpaan ibu bapa dan guru). Yang penting ada peningkatan.

“Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak memang sangat penting terutama pada peringkat sekolah rendah dan semestinya di tahap menengah.

“Saya tidak tahu sampai bila boleh mengajar tetapi saya mesti terlibat sama. Ada juga aspek lain yang penting tetapi tidak mahu bercakap di sini,” katanya menerusi Instagram.

Selain itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada guru yang pernah mengajar anak-anaknya selain memohon doa bagi kecemerlangan dua cahaya matanya.

Ramai yang lebih teruja dengan keakraban ditonjolkan pelakon filem Duyung itu kerana masih berbaik dan berjumpa demi anak-anak.

“Saya tabik hormat kepada awak dan bekas suami. Anak-anak sememangnya tanggungjawab utama kepada keluarga. Kekalkan,” ujar pengikut.

“Ibu bapa contoh. Kami yang masih berkahwin pun salah seorang yang akan hadir ke sekolah anak,” puji peminat.

“Terima kasih kerana menunjukkan contoh baik kepada keluarga lain mengenai pelajaran anak-anak,” jelas netizen.

Sebelum ini, Yasmin memaklumkan akan kekalkan hubungan baik dengan bekas suami walaupun sudah bercerai demi melihat anak-anak membesar dengan kasih sayang ibu bapa seperti keluarga normal.

Yasmin dan Shahrin yang juga pemain dram Blackrose mendirikan rumah tangga pada 2015 dan berpisah selepas 10 tahun berkahwin berpunca daripada tiada persefahaman.

Perkahwinan mereka diserikan dengan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong, 7. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok