[VIDEO] Tolak keganasan, Mizz Nina jadi model video muzik suami

SELEPAS 10 tahun tidak aktif dalam aliran muzik perdana, penampilan aktivis kemanusiaan Mizz Nina dalam video muzik baharu suaminya, Essam Muhammad mencuri perhatian ramai.

Kata pemilik nama sebenar Shazrina Othman, 44, kemunculannya hanya sebagai model dalam single berjudul No Love yang berkisar situasi getir dilalui rakyat Palestin.

Alhamdulilah, saya bersyukur menjadi sebahagian daripada penghasilan lagu ini dengan menjadi model,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Biarpun bukan berpadu suara, penampilan bekas penyanyi rap wanita tanah air itu tetap menjadi perhatian, apatah lagi lagu yang dilancarkan semalam sarat mesej kemanusiaan.

Dalam video muzik tersebut, Mizz Nina tampil tanpa menunjukkan wajahnya yang dilitupi selendang, namun masih ramai peminat dapat meneka kelibat penyanyi What You Waiting For itu.

Menurut Mizz Nina, video muzik No Love yang diterbitkan Essam itu sudah berada di platform YouTube sejak semalam.

Lagu ini mengenai keganasan, penindasan dan penderitaan terhadap insan tidak berdosa di seluruh dunia.

“Semoga No Love membawa makna dalam kita refleksi diri dan terus menaruh harapan,” ujarnya yang bersara menyanyi sejak 2014.

Jun tahun lalu dia berkongsi berita gembira dengan mendedahkan bergelar isteri kepada Essam yang juga penyanyi rap asal Amerika Syarikat (AS).

Selepas tiga bulan, mereka diraikan pula dalam majlis resepsi yang turut menghimpunkan saudara-mara serta rakan dari AS, Kanada, United Kingdom dan Indonesia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok