[VIDEO] Lelaki merajuk tiga hari saja – Izzue Islam

TIADA istilah rajuk sebaliknya paduan suara penyanyi Izzue Islam bersama bekas kumpulannya, Forteen dalam single baharu berjudul Noktah Epilog Cinta bukti persahabatan mereka kekal utuh.

Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan, 30, itu berkata single yang digarap selepas enam tahun memilih haluan sendiri pada 2018 adalah permulaan bagi projek lain selepas ini.

Tiada rajuk pun. Lelaki berbeza dengan perempuan, kalau ada perselisihan faham biasanya tiga hari saja dah reda dan kami boleh berbaik-baik.

“Selepas memilih bergerak secara solo, saya dan anggota Forteen masih berhubung selain berjumpa macam biasa.

“Cuma sepanjang tempoh itu saya sibuk memantapkan kerjaya solo, jadi tiada kesempatan untuk terbabit dalam sebarang projek dengan Forteen sehinggalah sekarang,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Izzue, KRU, Alternate serta Forteen melamarnya merealisasikan single terbabit yang disifatkan sebagai rezeki dan hadiah untuk peminat.

Lagu kolaborasi antara KRU Music dan Alternate Records itu dihasilkan untuk runut bunyi drama Keturunan yang bakal ditayangkan selepas hari raya nanti di TV3.

Malah penyanyi, pelakon dan pengacara popular itu turut meluahkan rasa terharu apabila Noktah Epilog Cinta mendapat sambutan dengan jumlah tontonan melebihi 40,000 di YouTube sejak dilancarkan seminggu lalu.

Sudah tentu saya teruja dan bersyukur kerana lagu dan kemunculan saya bersama Forteen ini diterima baik semua pendengar dan juga peminat.

“Bagi kolaborasi kami seterusnya tentu saja saya takkan menolak apatah lagi keseronokkan dapat bergabung dalam projek khas ini seakan mengulang memori lalu,” ujarnya.

Akui Izzue lagi, merakamkan lagu terbabit  bersama One, Ariz dan Ameer mengimbas kembali memori lama mereka.

“Kalau ditanya mengenai keserasian, memang tiada masalah sepanjang rakaman kerana ikatan kami tetap akrab macam dulu,” katanya yang tidak menolak andai diminta mengadakan persembahan dengan Forteen.

Sebagai rekod, keputusan Izzue meninggalkan Forteen pada 18 November 2018 menoktahkan desas-desus kemelut dalaman kumpulan itu yang ditubuhkan KRU Music pada 2011. – – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok