KALAU isteri bersalin, tolonglah masuk tengok.”
Demikian nasihat pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz kepada golongan suami agar menghargai pengorbanan isteri yang bertarung nyawa melahirkan cahaya mata.
Ujar Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, kaum hawa merupakan insan terhebat namun pengorbanan wanita bergelar isteri sepanjang ketika hamil dan bersalin bukan fasa mudah.
“Besar pengorbanan isteri kita, dia sudah melahirkan zuriat dan kita pun tenang tengok anak-anak membesar dengan sihat.
Kalaulah ada lebihan-lebihan ‘tayar spare’ dekat badan dia atau badan dia dah tak macam dulu, janganlah dilihat kepada itu semata-mata.
“Kita pandang dari sudut pengorbanan seorang isteri yang berjuang melahirkan benih kita,” katanya menerusi satu video dalam TikTok.
Berkongsi pengalaman, bapa kepada dua putera itu menceritakan momen berharga ketika menyaksikan sendiri proses kelahiran kedua-dua permata hatinya, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.
Sebab tu orang lelaki, kalau isteri tengah bersalin tolonglah masuk tengok. Saya pertama kali masuk rasa nak pitam dalam bilik tu, selepas itu yang kali kedua pun saya rasa nak muntah, bukan geli, tapi rasa kasihan.
“Perubahan fizikal pada tubuh badan wanita selepas bersalin seharusnya dihargai. Kalau dia pakai seksi dan ada ‘beberapa lebihan’, jadikan satu peringatan untuk kita.
“Kita hargailah pasangan kita, terutama yang pernah bersalin dengan penuh kesusahan,” ujarnya panjang lebar.
Tinjauan HibGlam menerusi ruangan komen video tersebut mendapati rata-rata netizen senada dengan PU Riz selain menyifatkan Neelofa sebagai wanita bertuah kerana memiliki suami yang matang dan memahami.
Betul kata Haris, suami kena tahu betapa payahnya nak melahirkan seorang cahaya mata, masa mengandung berdepan alahan dan selepas itu kena hadap sakitnya melahirkan,” komen netizen.
“Beruntung Neelofa dapat suami yang memahami, bukan semua lelaki faham tentang pengorbanan seorang isteri, yang mereka tahu buat anak sahaja,” demikian komen seorang lagi netizen.
Haris dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua putera iaitu Muhammad Bilal, 3, serta Abdullah Abbas, tujuh bulan. – HIBGLAM
@seorangnur Dengar tu para suami, sentiasa ingat dan hargai pengorbanan isteri ❤️#neelofa #harisismail #neelofaharis #fyp #foryou ♬ original sound – bintuSijan_. – philophobia