Uqasha tak sabar tatap wajah anak

SEJAK berbadan dua wajah pelakon jelita Uqasha Senrose semakin berseri-seri tanda bahagia bakal bergelar seorang ibu.

Masakan tidak, sejak mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli pada 5 November 2021, sudah dua kali Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, mengalami keguguran kandungan.

Kali pertama selepas pulang daripada mengerjakan umrah beberapa bulan usai pernikahannya dan kali kedua, sekitar November 2022.

Lantas, kehamilan ketiga menjadi sesuatu yang sangat dinanti-nantikan Uqasha dan suami tercinta. Biarpun berita kehamilannya sudah bertebaran sejak awal, namun Uqasha memilih untuk merahsiakan dahulu kisah gembiranya daripada pengetahuan umum.

“Sebab pernah keguguran, jadi saya takut. Awal-awal memang saya rahsiakan dan bila orang tanya saya buat tidak tahu.

Tetapi rasa tidak baik dan rasa bersalah apabila orang doakan keselamatan saya, saya pula buat tidak tahu.

“Selepas saya umumkan kehamilan di Instagram tempoh hari tiada lagi pertanyaan yang diterima sebaliknya hanya doa-doa. Alhamdulillah terima kasih buat semua yang mendoakan saya,” ujar Uqasha membuka bicara.

UQASHA tidak menyangka rezekinya mencurah-curah selepas hamil termasuk tawaran berlakon dan dilantik sebagai duta produk penjagaan bayi.

Kongsi Uqasha lagi ketika awal kehamilan, dia beruntung mampu menyembunyikan perut kerana watak di dalam drama adalah seorang wanita mengandung.

“Masa dapat tahu sahaja saya hamil selain suami, saya beritahu juga pihak produksi. Selepas apa yang berlaku (keguguran) saya sudah tidak mahu ambil risiko.

Jika ditakdirkan nama saya digugurkan daripada drama kerana hamil pun saya reda sebab anak lebih penting. Tetapi pihak produksi tetap memilih saya dan mereka menjaga saya dengan baik sepanjang penggambaran.

“Awal-awal memang orang tidak perasan saya hamil sebab watak saya perlu mengandung. Jadi, saya pakai sahaja perut sendiri (ketawa). Selepas perut semakin membesar memang tidak dapat sorok lagi,” kata Uqasha.

Bercerita tentang kesediaan bergelar seorang ibu, Uqasha hanya melemparkan senyuman manis sambil mengusap-usap perutnya.

Kata Uqasha ini adalah pengalaman pertama, oleh itu dia tidak tahu apa yang akan berlaku kerana pengalaman setiap ibu adalah berbeza.

“Saya tidak tahu apa yang ingin dijangkakan. Saya banyak bertanya kepada ibu saya dan orang sekeliling. Fikir hendak bersalin memang takut dan berdebar.

“Tetapi apabila rasa gerakan dan tendangan bayi dalam kandungan pun sangat bahagia. Baru saya tahu inilah perasaan wanita mahu menjadi ibu.

“Tidak tahu bagaimana hendak diluahkan dengan kata-kata tetapi saya gembira dan bahagia walau ada masanya perut saya sakit dan tiba-tiba mengeras, itu perjalanan yang harus dilalui dan akan kenang kemudian hari,” kongsinya yang mengakui teruja dan tidak sabar untuk menatap wajah anaknya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok