Tuah sedekad Fabian Loo

PENANTIAN sedekad untuk mendapat restu daripada keluarga bagi melibatkan diri dalam dunia seni nampaknya berbaloi buat Fabian Loo.

Baginya, selagi tidak meraih restu tersebut, hatinya tidak pernah tenang kerana merasakan hidupnya tidak mendapat keberkatan daripada insan paling penting dalam hidupnya.

Restu tersebut tertunda sekian lamanya kerana keyakinan keluarganya terhadap masa depan dunia hiburan agak tipis malah lebih yakin jika Fabian menceburkan diri dalam bidang lain.

Namun, selepas muncul dengan beberapa naskhah hebat seperti One Cent Thief, Merewang Keluarga Pak Awang dan Doh, dia berjaya membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar mengisi masa lapang sebaliknya, berjaya meninggalkan dampak tersendiri kepada penonton.

“Cita-cita untuk menjadi pelakon sangat mendalam cuma pada awalnya ibu bapa kurang yakin bidang ini boleh memberi masa depan yang cerah dan terjamin untuk saya.

Akhirnya, selepas 10 tahun terlibat aktif, mereka sudah mula menunjukkan sokongan dan memahami minat saya.

“Dia (orang tua) sudah beri kebenaran, asalkan saya tahu apa yang mahu dilakukan, elak perkara-perkara tidak sepatutnya dan pandai jaga diri sendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

ONE Cent Thief, Merewang Keluarga Pak Awang dan Doh antara karya yang mengangkat nama Fabian Loo.

Bercerita lanjut, pelakon berusia 33 tahun itu memberitahu, halangan keluarga tersebut disebabkan ibu bapanya sedikit skeptikal terhadap dunia seni lakonan.

“Keluarga saya jenis ada prinsip. Bapa saya memiliki pemikiran ‘tradisional’, kurang menerima dan pemahaman mengenai dunia seni.

Memang susah nak buat mereka faham sebab kalau boleh, mereka mahu saya jadi doktor memandangkan saya memiliki ijazah dalam bidang psikologi.

“Untuk yakinkan mereka memang ambil masa tetapi jiwa keras mereka ‘lebur’ perlahan-lahan,” tuturnya.

FABIAN melibatkan diri dalam dunia lakonan adalah untuk memberikan kepelbagaian bukannya memberi saingan kepada sesiapapun. – FOTO FARIZ RUSADIO

Boleh menarik nafas lega dan menutup buku mengenai penerimaan keluarga, dia yang pernah membintangi filem Fly By Night itu turut menzahirkan rasa syukur kerana kebanyakan watak dijayakan sebelum ini meraih respons positif daripada penonton.

Katanya, perkara tersebut diibaratkan tuah kerana tidak semua pelakon mampu meraihnya untuk setiap naskhah.

Setakat ini, saya sangat bertuah dan syukur sebab semua drama lakonan saya berjaya serta mendapat tempat dalam hati penonton. Pastinya kemunculan saya yang paling diingati ramai ialah dalam One Cent Thief.

“Kini, fokus saya adalah memberi sepenuh jiwa dalam semua tugasan yang diberikan walaupun watak kecil sekalipun,” ujarnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok