Tiada komen, minta beri ruang kepada kami – suami Marissa

“SAYA minta mana-mana pihak media beri ruang kepada kami”.

Demikian respons suami kepada pempengaruh sensasi, Marissa Dania Hakim iaitu Ahmad Aslam ketika menjawab pertanyaan wakil media yang berjaya menjejakinya, baru-baru ini.

Selepas hampir dua minggu berdiam diri, dia memohon tidak diganggu sebelum dapat menjelaskan mengenai dakwaan pernikahannya dengan anak pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga enggan memberikan pengesahan mengenai kesahihan perkahwinan yang difahamkan berlangsung di Songkhla, Thailand pada 27 Disember tahun lalu.

Saya tiada komen (sudah berkahwin dengan Marissa),” katanya menerusi sebuah program hiburan hari ini.

Sementara itu, isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang turut ditemui wartawan juga enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut.

“Saya tiada komen apa-apa. Minta maaf, saya nak cepat,” katanya yang meminta pertanyaan itu diajukan kepada Aslam.

Nama Marissa yang sebelum ini terpalit kontroversi menjalin hubungan dengan suami orang kembali diperkatakan selepas didakwa berkahwin secara rahsia dengan lelaki sama.

Pernikahan itu disahkan kakak ipar kepada Aslam, 25, yang dikenali sebagai Nadiah, dengan mengatakan suami adiknya menikahi Marissa ketika mereka sekeluarga mengerjakan umrah.

Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan Misya serta keluarga Marissa sendiri.

Malah, Norman dan Abby juga masih mengunci mulut tanpa mengesahkan atau menafikan pernikahan tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok