GARA-GARA semakin berani tayang badan dalam media sosial, pelakon Atiq Azman teruk dihentam netizen.
Mengakui kesilapannya, pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 24, itu bagaimanapun meminta netizen supaya menggunakan cara yang betul dengan menjaga kata-kata sewaktu menegurnya.
Pertama sekali, terima kasih kerana menegur. Apa yang boleh saya cakap, saya mengaku memang salah saya (menayang aurat) dan tidak menjaga batas.
“Namun yang menjadi masalah apabila saya ditegur dengan cara yang salah. Walaupun tidak nampak perubahan itu (selepas ditegur), namun kita tidak tahu pengakhiran hidup seseorang itu bagaimana,” katanya kepada HibGlam.
Menjadikan penghijrahan imej pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman sebagai contoh, Atiq meminta netizen supaya tidak menghakiminya dengan sewenang-wenangnya.
Contoh, lihat sahaja pelakon Norreen Iman sekarang. Kita tahu dahulu dia bagaimana (seksi), tetapi lihat dia sekarang.
“Jangan hukum seseorang. Sebaliknya doakan yang baik-baik dan tegurlah dengan cara yang betul,” jelasnya.
Pada masa sama, Atiq yang pernah bergelar pelajar tahfiz ketika mendapatkan pendidikan di sebuah sekolah agama turut mengakui tidak memanfaatkan ilmu yang dimilikinya itu dengan baik.
“Walaupun ada latar belakang pendidikan sekolah agama, saya akui memang salah saya.
Saya ada asas dalam bidang tersebut (agama), namun tidak gunakan dengan cara yang baik. Terus terang saya minta maaf, memang salah saya,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Nur itu turut mendedahkan kerap ditegur keluarga susulan kecaman netizen yang dilemparkan terhadapnya.
Kata Atiq, dia juga mahu berterima kasih kepada keluarga dan mengambil teguran tersebut untuk memperbaiki diri pada masa hadapan.
Keluarga kerap menegur saya. Iya, memang salah saya. Terima kasih juga kepada keluarga sebab sentiasa tegur anak mereka. Memang saya ada masalah pun.
“Saya ambil teguran itu untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Atiq pernah dikecam kerana menayang otot perut atau six pack ketika bercuti di sebuah pulau peranginan di Terengganu sehingga mencetuskan pelbagai reaksi khalayak.
Atiq kemudian tampil mempertahankan diri dan sempat menempelak netizen, selain meluahkan rasa berang apabila ada individu bertindak melampau sehingga sanggup menghinanya.
Katanya, dia bukan tidak boleh menerima teguran, namun komen dilemparkan seolah-olah pihak terbabit langsung tiada dosa. – HIBGLAM