TERKENAL dengan gaya penyampaian penuh melankolid menerusi beberapa karya cinta bergenre balada, Imran Ajmain boleh dikatakan antara penyanyi yang mampu ‘mencairkan’ perasaan sesiapa sahaja hanya dengan lontaran vokalnya.
Setiap seni kata yang terbit dari bibirnya dan ditambah dengan gaya nyanyian penuh mempesona, cukup menyerlah Imran sebagai penyanyi lelaki dengan identiti tersendiri.
Dendangannya seperti Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang, Jika Engkau Pergi dan Dikalung Kasihan sehingga kini kekal terpahat dalam hati penggemar walaupun selepas bertahun-tahun sepi tanpa buah tangan baharu.
Hilang, namun tak tenggelam, angka 2024 kembali memantulkan sinar di halaman seni Imran apabila buat pertama kalinya berpencak secara solo di rumah keduanya, Malaysia, menerusi konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain: Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Februari lalu.
Konsert solo Malaysia
Bertempat di The Platform, Menara Ken, TTDI, malam Jumaat lalu menjadi saksi kredibiliti dan kesungguhan penyanyi berusia 42 tahun itu dalam memberikan yang terbaik untuk peminat setianya.
Lebih membanggakan, tiket konsert yang berlangsung sebanyak dua malam itu habis terjual, sekali gus membuatkan air matanya mengalir membasahi pipi.
“Alhamdulillah. Bila saya dikhabarkan tiket konsert selama dua hari habis terjual, saya menangis. Ketika saya beritahu ibu saya di Singapura, dia juga menangis sebak.
“Saya sendiri tidak sangka masih ada peminat setia di Malaysia yang ternanti-nantikan konsert di sini. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah menjangkakan perkara ini akan berlaku,” katanya.
Membuka tirai persembahan, sorakan penonton bergema saat lelaki bertubuh tinggi lampai itu muncul di atas pentas dengan mendendangkan lagunya berjudul Taurus dan Intan Dan Perak.
Imran yang petah dalam berbicara semenangnya bijak menarik minat penonton dengan ucapan penuh bersahaja apabila mengakui gementar, lebih-lebih lagi persembahan Malam Seribu Tahun Imran Ajmain: Kuala Lumpur merupakan konsert solo pertamanya di sini.
Memori
Tanpa berlengah, Imran meneruskan acara dengan menyanyikan sebuah lagu rancak, Hanya Menari, sekali gus menampilkan sisi berbeza dirinya apabila kelihatan cukup ligat di atas panggung.
Sorakan penonton memanas apabila alunan muzik lagu Di Kalung Kasihan bergema. Masing-masing ikut menyanyi dan tenggelam dalam alunan kegilaan ramai tersebut.
“Bertahun-tahun saya menunggu untuk merealisasikan impian mengadakan konsert di Malaysia. Tapi untuk menghabiskan konsert ini, cuma memakan masa dua jam.
“Terasa masa sangat pantas berlalu,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu berjudul Ghaib dan Mengaku Kalah.
Suasana yang mulanya riuh, tiba-tiba bertukar hening seketika apabila Imran mengimbas kembali memori kehilangan bapa tercinta, beberapa tahun lalu.
Ternyata kehilangan lelaki yang dipanggil ayah itu ternyata cukup meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sehingga suaranya tersekat-sekat.
“Kehilangan arwah ayah cukup memberi kesan kepada saya.
“Kalau dia masih ada, pasti hari ini dia akan ada di sini menyaksikan konsert saya,” luahnya sebelum menyanyikan lagu berjudul Nada Merindu.
Memasuki segmen kedua, Imran mengajak penonton untuk mengubah kebiasaan ketika menyambut ulang tahun kelahiran apabila akan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dengan menukar bait lirik menjadi lagu Allah Selamatkan Kamu.
“Ada yang menyambut hari jadi pada bulan ini? Biasanya kita akan menyanyikan lagu Happy Birthday atau Selamat Hari Jadi.
“Apa kata selepas ini, kita tukar kepada lagu Allah Selamatkan Kamu, agar kita semua dilindungi olehNya,” ujar Imran yang sempat menghadiahkan lagu tersebut kepada penonton yang hadir.
Seusai menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, Imran mengambil nafas sebelum menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang yang juga menjadi antara anthem ‘berhantu’ dendangannya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.