Tak perlu berebut, Engku Aleesya berhak hidup bahagia – Erra Fazira

“SAYA tak mahu Engku Aleesya merasai apa yang saya lalui. Dia berhak bahagia dan dapat kasih sayang secukupnya.”

Demikian kata aktres jelita Erra Fazira yang mengakui dirinya dan bekas suami, Engku Emran sanggup bertolak-ansur dan mengetepikan ego demi kebahagiaan permata hati mereka, Engku Aleesya.

Ujar pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu, dia tidak mahu puteri tunggalnya itu merasai nasib sama sepertinya yang tidak merasai belaian kasih bapa sejak kecil.

Dibesarkan oleh ibu tunggal dan tidak pernah dapat kasih sayang seorang bapa membuatkan saya faham perasaan perit itu.

“Jadi, saya nekad mahu anak saya dapat kasih sayang secukupnya walaupun antara saya dan bapanya tiada apa-apa lagi ikatan.

“Sebagai ibu saya enggan mengganggu proses pembesarannya, selain mahu Aleesya mendapat hak untuk hidup bahagia,” katanya kepada HibGlam.

Diminta mengulas isu perebutan anak yang berlaku dalam kalangan selebriti tanah air mutakhir ini, penyanyi berusia 50 tahun itu berkata, sebagai ibu bapa salah seorang perlu mengalah dan menurunkan ego agar tidak memberi kesan buruk terhadap anak.

Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu turut menegaskan, kemelut dalaman rumah tangga atau keluarga tidak perlu dicanang dalam media sosial.

“Ibu bapa perlu merendahkan ego masing-masing dengan mengutamakan kebahagiaan zuriat mereka selepas bercerai.

Apabila berpisah, keadaan memang tegang terutama membabitkan soal anak. Nasihat saya kepada pasangan bercerai, sebagai orang dewasa kita letakkan ego ke tepi.

“Jangan beri tekanan kepada anak selain tak perlu tunjuk susah senang kepada orang kerana media sosial menggambarkan siapa diri kita yang sebenar,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media program Nasi Lemak Kopi O, semalam.

Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 2003 namun bercerai tiga tahun kemudian.

Dia kemudian berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan seorang zuriat iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Namun, bahtera rumah tangga yang dibina tidak kekal lama apabila mereka bercerai selepas tujuh tahun hidup bersama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok