‘Tak kisah bayaran ‘ciput’ asal ada Eman Manan’

MEMULAKAN karier lakonan pada usia kanak-kanak, nama Aedy Ashraf tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia antara hero muda yang dilihat mampu menjiwai apa sahaja watak dengan baik.

Teruja berkongsi mengenai drama bersiri terbaharu lakonannya berjudul i.D, pemilik nama sebenar  Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu berkata, ini adalah naskhah yang ditunggu-tunggu apabila berpeluang mencorakkan karakter berbeza dengan dirinya yang sebenar.

Menerusi siri lapan episod garapan sutradara Razaisyam Rashid itu, Addy tampil sebagai Jazman, anak muda yang kasar serta kaki perempuan namun dalam kehidupan sebenar dia introvert dan pemalu.

“Sejujurnya saya seorang yang agak pemalu sehingga sukar memulakan perbualan tetapi selepas kenal rapat memang saya nampak berbeza.

Berlakon di bawah arahan sutradara hebat seperti Razaisyam sebenarnya mencungkil sisi luaran saya yang berlawanan dengan karakter Jazman.

“Kisah mengenai jenayah siber membabitkan penjualan data peribadi kepada scammer juga adalah sesuatu yang digarap dengan terperinci dalam i.D,” ujarnya.

Ditanya mengenai pemilihan karya serta watak diingini, aktor tinggi lampai itu menangkis dakwaan semakin cerewet menapis naskhah tertentu.

BUKAN bayaran yang menjadi keutamaan Aedy dalam berkarya tetapi kepuasan dan rakan gandingan yang dititikberatkan dalam pemilihan sesebuah naskhah.

Ulasnya, dia enggan dicop gelojoh apabila mengaut sahaja tawaran yang datang atau cuma memilih bayaran besar.

Sebaliknya, setiap kata putus berpaksikan kepada kepuasan iaitu terbabit dalam produksi yang meninggal impak kepada khalayak serta dirinya sendiri.

“Saya sudah berada dalam industri ini sejak kecil, jadi seiring peralihan masa saya perlu tangkas menyusun karier supaya terus kekal releven.

Ini bukan soal duit kerana dalam berkarya kita juga perlu tengok kesan lakonan, adakah bagi impak atau sekadar penuhi tawaran demi wang?

“Saya pernah penuhi tawaran yang sedari awal tak tahu pun berapa bayarannya, tetapi tetap saya sambar kerana bintang yang disenaraikan,” tambahnya.

Berkongsi lebih lanjut, kekasih pelakon Amelia Henderson itu mendedahkan aktor senior yang dinanti-nantikan untuk bergandingan dengannya selama ini adalah Wan Hanafi Su serta Eman Manan.

Biarpun akhirnya mengetahui penerbitan itu berbajet kecil dan membayarnya sekitar RM2,500 untuk 10 hari penggambaran, tiada sesalan di hati.

“Semuanya berbalik kepada kepuasan kerana dalam berkarya saya masih puas dapat beraksi dengan pelakon handalan seperti mereka.

“Pengalaman begini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, kerana pada akhirnya kita dapat kepuasan selain melengkapkan portfolio dalam kerjaya.

“Saya tak mahu tidur malam saya terganggu atas penyesalan menolak peluang beraksi dengan nama sebesar mereka disebabkan bayaran kecil,” tambahnya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai berdekatan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok