Sum 41 ajak peminat ‘headbanging’

BAGI pencinta muzik rock, masa untuk ‘headbanging’ sepuas hati akan tiba.

Bukan band tempatan sebaliknya kumpulan rock terkenal antarabangsa, Sum 41 kini dijadualkan ‘singgah’ di Kuala Lumpur pada 5 Mac depan menerusi konsert Sum 41: Tour of the Setting Sum.

Acara yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang itu merupakan persinggahan kumpulan berasal

Kanada itu sempena siri jelajah Asia terakhir mereka yang merangkumi empat buah negara iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Jepun sebelum berpecah.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal selaku penganjur konsert berkata, konsert merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sudah meminati Sum 41 sejak 28 tahun lalu.

“Jika anda membesar dengan lagu In Too Deep dan Fat Lip, pastinya ini konsert ini wajib untuk dihadiri.

“Bukan mudah untuk membawa sebuah band rock ternama seperti mereka ke Kuala Lumpur. Jadi, konsert ini tidak harus dilepaskan begitu sahaja.

“Selaku penganjur, saya amat berbesar hati dapat memenuhi impian peminat Sum 41. Harap konsert ini meraih sambutan hebat daripada pencinta muzik khususnya rock” katanya.

Tambah Rohit, konsert tersebut juga merupakan persembahan secara langsung terakhir Sum 41 yang sangat popular sekitar awal era 2000-an.

SUM 41 bakal bersara selepas menamatkan konsert jelajah Asianya, Mac nanti.

Ujarnya, konsep persembahan yang bakal dihadiahkan pada malam itu ialah perjalanan 28 tahun Sum 41.

“Ini merupakan persembahan terakhir mereka di Asia sebelum bersara.

“Antara lagu yang akan dipersembahkan pastinya daripada album terakhir mereka iaitu Heaven x Hell yang merupakan gabungan muzik moden dan lama.

“Pastinya, konsert itu nanti akan meninggalkan momen terindah buat peminat setia mereka.

“Kami sangat komited untuk memberikan hasil yang menakjubkan kelak,” tuturnya.

Sebelum ini, Sum 41 mengumumkan bakal dibubarkan selepas hampir tiga dekad bergiat aktif sebagai sebuah kumpulan rock.

Berasal dari Ontario, Kanada, perjalanan 28 tahun mereka dihiasi pelbagai pengiktirafan peringkat global seperti Anugerah Grammy, Anugerah Juno dan banyak lagi.

Sum 41 dalam satu kenyataan meluahkan rasa bangga dan tidak sabar untuk melaksanakan setiap konsert jelajah di empat buah negara Asia.

“Konsert jelajah ini merupakan hadiah terhebat dan paling bermakna buat peminat di Asia sebelum kami membubarkan diri

“Siri jelajah ini juga ibarat kemuncak kerjaya kami selama 28 tahun bergelar anak seni. Terima kasih buat semua yang terus menyokong,” ujarnya.

Selain Hitman, Happymoon juga merupakan penganjur bagi konsert tersebut.

Tiket konsert yang turut dibawakan Happymoon sebagai penganjur bersama dijual bermula harga RM249 hingga RM349. Maklumat lanjut, hubungi [email protected]. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok