PELAKON Shakilla Khoriri pelik dengan perubahan anak tunggalnya, Ameena Sofia apabila kebelakangan ini didakwa semakin bersikap kasar sehingga membuatkannya mengalirkan air mata.
Katanya, sebagai ibu yang sentiasa mendidik puteri kesayangan untuk menjaga lisan serta adab sejak kecil, dia bukan mahu mengorek punca, sebaliknya ingin mencari solusi agar Ameena kembali seperti dulu.
Pantang orang bersuara kasar atau (nada) tinggi sikit, aku mesti terasa termasuklah dengan Ameena apabila akhir-akhir ini, dia bercakap suka tinggi suara dan kasar.
“Sampai tak tertanggung rasa sedih dan akhirnya jatuh juga air mata Umi (panggilan ibu) pagi-pagi hari sambil memandu ke sekolah.
“Sampai hari ini dia punya minta maaf, harap dia ingat sampai bila-bila sebab tiada orang mampu faham aku setakat ini kecuali Ameena.
“Hidup dengan aku masuk lima tahun tapi macam dah berpuluh-puluh tahun lamanya,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, Shakilla, 34, turut menyifatkan setiap masa diluangkan bersama anaknya yang baru berusia lima tahun itu sangat bermakna.
Kata pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd. Khoriri itu, walaupun berjiwa kental, perkara membabitkan Ameena boleh membuatkan hatinya menjadi rapuh dan lemah.
Makin besar makin mengadakan menjadi-jadi, tapi tidak apa biarlah nak mengada pun, bukan banyak masa lagi dengan Ameena. Nanti dah besar nak peluk cium pun mungkin dah tak nak.
“Selagi ada masa dan peluang, Umi manfaatkan. Aku ini tengok macam pengkid, kerja berat boleh buat, uruskan semua pasal anak sendiri tapi aku lemah bab hati, ada macam-macam bunga.
Shakilla juga berkata, dia juga pasti akan merindui setiap pengalaman dilalui bersama Ameena selain tidak sabar untuk bercerita tentang hal tersebut apabila anaknya dewasa kelak.
“Aku akan rindu momen ini tapi aku terpaksa lepaskan apabila tiba waktu kerana aku tak sabar tunggu Ameena besar. Banyak cerita nak aku sembang dan kongsikan,” ujarnya.
Ameena adalah anak tunggal hasil perkahwinan dengan penyampai radio Fizi Ali, namun rumah tangga yang dibina pada 2018 hanya bertahan selama tiga tahun.
Pada 24 Februari lalu, Shakilla bergelar isteri kepada lelaki pilihan hati yang dikenali sebagai Fariz dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam, Selangor.
Manakala, bekas suaminya pula terlebih dulu bertemu jodoh dengan usahawan yang juga ibu tunggal anak satu pada 23 Oktober tahun lalu. – HIBGLAM