Seronok di Mekah, Norreen Iman mahu kembali lagi Ramadan nanti

AIR mata tak putus mengalir di pipi pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman saat pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah.

Norreen atau nama lengkapnya Norreen Iman Abdullah berkata, keberangkatannya untuk menunaikan umrah terjadi secara tiba-tiba, selepas mendakwa tergerak hati untuk ke Tanah Suci.

Alhamdulillah. MashaAllah. Saya gembira sangat. Ini sahaja gambar yang saya boleh tersenyum depan Kaabah. Gambar lain muka nak menangis sahaja.

“Terima kasih atas jemputan-Nya. Semua secara tiba-tiba. Terima kasih sebab zahirkan satu suara kuat dalam hati saya untuk pergi menunaikan umrah,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.

Ujar pelakon drama Cina Buta itu lagi, saat hatinya dijentik untuk ke Tanah Suci, dia menggigil sendirian dan bertanya kepada diri sendiri tentang ‘suara’ yang menyerunya untuk menunaikan umrah.

Lebih membuatkan Norreen terharu apabila segala persiapan yang dibuat untuk berangkat ke Mekah, dipermudahkan Allah SWT.

Tak pernah seumur hidup saya menggigil dan bertanya kepada diri sendiri, suara siapakah itu? Saya bermonolog ke?

“Bila semua (urusan) dipermudahkan dalam masa singkat, sampai sini (Tanah Suci), macam-macam momen seronok terjadi kepada saya. Sangat seronok!” ujarnya.

Tambah Norreen, dia turut meluahkan hasrat untuk kembali ke Tanah Suci Mekah ketika Ramadan nanti dan berdoa agar pengikutnya dalam media sosial turut diberikan rezeki untuk menjadi tetamu Allah suatu hari nanti.

Harap boleh datang sini lagi bila Ramadan. Saya doakan semua yang tengok perkongsian ini, Insya-Allah dapat datang dalam masa terdekat, dengan keadaan sihat dan juga mampu. Amin,” katanya.

Meninjau dalam ruangan komen, perkongsian menusuk hati Norreen turut meninggalkan kesan kepada pengikutnya apabila rata-rata bersyukur dan gembira dengan hidayah yang diperoleh pelakon itu.

“Semuanya rahsia Allah SWT. Satu saat, dia antara yang jauh daripada rahmat Allah. Di satu saat kemudian, dia antara kesayangan Allah. Tiada siapa yang tahu,” ujar seorang pengikutnya.

Makin tenang tengok muka Norreen. Hebatnya orang yang boleh berubah. Moga terus kuat di jalan hijrahmu,” kata seorang lagi pengikutnya.

“Sumpah kagum tengok Norreen. Dia boleh padam semua foto tidak menutup aurat sebelum ini. Alhamdulillah, satu penghijrahan yang hebat. Semoga terus istiqamah dan dipermudahkan segala urusan,” ujar seorang pengguna Instagram.

Difahamkan, Norreen yang berlepas ke Mekah pada 7 Februari lalu, turut ditemani suaminya, Razzi Razak dan seorang rakan yang juga isteri kepada pelakon, Shukri Yahaya iaitu Tya Adnan.

Terdahulu, Norreen, 30, memutuskan untuk bertudung sepenuhnya pada 1 Februari lalu selepas berdepan peristiwa menginsafkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu menangis apabila memadam semua gambar lama yang tidak berhijab dalam Instagramnya.

Selain memadam gambarnya yang tidak menutup aurat, Norreen juga mengambil keputusan membuat jualan ‘prelove’ kesemua baju seksi miliknya.

Bagaimanapun, Norreen hanya menjual pakaian terpakai tersebut kepada pembeli bukan beragama Islam kerana enggan menanggung dosa sekiranya digayakan wanita Muslim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok