MELIHAT anak yang dikandung sembilan bulan, tumbuh sihat dan lincah depan mata tentunya membuatkan perasaan setiap ibu berbunga mekar.
Sama seperti wanita lain, pelakon dan usahawan, Nur Fazura juga memiliki perasaan sama untuk memberikan yang terbaik buat cinta hatinya,
yang kian membesar.
Pada usia empat tahun, Fatima bukan sahaja semakin aktif, malah sudah menunjukkan minat mengikut jejak langkah ibu bapanya dalam bidang seni.
Bagi Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, dia tidak akan menghalang minat dan keinginan anak perempuannya itu mengikut jejak langkahnya bersama suami, Fattah Amin untuk berkecimpung dalam dunia seni.
Namun, apa yang membuatkan pelakon berusia 41 tahun risau apabila memikirkan cabaran dan dugaan yang perlu dilalui Fatima jika benar-benar menerjuni industri seni hiburan suatu hari nanti.
Sejujurnya bidang seni ini bukanlah kerjaya mudah dan seindah seperti yang disangka. Saya risau sebenarnya jika Fatima terbabit dalam bidang seni suatu hari nanti.
Pelbagai onak duri dan cabaran yang perlu dia lalui nanti,” kata Fazura yang kelihatan anggun menggayakan dres berona biru.
Pun begitu, pelakon filem Pisau Cukur itu percaya bahawa Fatima boleh menempuhi cabaran dalam bidang seni, memandangkan si kecil itu disifatkan sebagai seorang anak yang kuat.
Tapi saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni. Kalau saya ‘kak long’ (kuat), dia lagi kak long daripada saya.
“Fatima seorang anak yang kuat. Saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni,” ujarnya.
Namun, sebagai seorang ibu, Fazura mengakui, tersimpan sekelumit rasa tidak yakin pada diri sendiri, seandainya Fatima berdepan kecaman netizen selepas terbabit dalam bidang seni.
“Cuma saya takut (pada diri sendiri) tidak boleh berdepan dengan hentaman dan kecaman netizen terhadap Fatima apabila dia terbabit dalam bidang seni nanti.
Namun terpulang, saya sokong apa sahaja yang dia mahu lakukan. Sekarang pun saya sudah nampak minatnya dalam bidang seni.
“Fatima pun dah mula terbabit dengan iklan. Darah seni memang ada dalam dirinya. Pada masa hadapan, jika dia mahu berlakon sudah tentu saya akan sokong,” tutur Fazura.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM