Selepas Mercedes-Benz, Ezzanie Jasny mahu beli rumah

BERJAYA memiliki kereta mewah Mercedes-Benz A180 pada usia 26 tahun bukan tiket untuk pelakon Ezzanie Jasny berasa selesa dengan pencapain diri sebaliknya mahu bekerja lebih keras demi mencapai impian mengumpul aset.

Ujar Ezzanie atau nama lengkapnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, dia kini berhempas-pulas mencari rezeki bagi merealisasikan hajat membeli kediaman sendiri pada tahun hadapan.

“Syukur kereta idaman saya sudah dapat, sekarang saya kena kerja lebih kuat lagi untuk ada rumah sendiri. Itu merupakan impian terbesar saya selepas memiliki kereta. Sekarang belum lagi tapi tengoklah tahun depan, insya-Allah.

Setakat ini dah dapat apa yang diimpikan, jadi saya kerja dulu simpan apa yang patut. Kalau ada rezeki untuk saya miliki rumah saya cubalah, tak salah kita beranggan-angan. Itu yang buat kita lebih bersemangat bekerja.

“Lagipun bukan untuk orang lain, untuk bekalan saya dan keluarga juga,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon drama Layang Layang Perkahwinan itu lagi, selain berlakon dia turut mengusahakan perniagaan kosmetik dan studio fotografi.

Menyifatkan diri sebagai wanita berdikari, pelakon kecil molek itu enggan mensia-siakan waktu muda tanpa mengumpul aset untuk bekalan hari tua.

“Saya memang jenis wanita kuat bekerja dan tidak boleh duduk diam. Bukan sahaja berlakon tetapi saya ada mengusahakan studio fotografi.

Ketika muda inilah kita patut pulun kumpul aset sebagai persediaan hari tua. Kena ada impian untuk memiliki sesuatu. Bagi saya bila ada impian, saya dapat motivasi untuk bekerja.

“Saya juga ada perancangan, mungkin akan ambil cuti panjang bagi menguruskan perniagaan, kemudian kembali berlakon. Memang banyak perancangan saya, moga dipermudahkan,” ujarnya.

Sebelum ini, pelakon jelita itu berkongsi berita gembira membeli kereta Mercedes-Benz dengan hasil titik peluhnya menerusi media sosial.

Bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi pencapaian itu diharap menyuntik semangat anak muda lain supaya berusaha mengejar impian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok