Seksi boleh tapi bersyarat – Trisha Oii

BERBEKALKAN wajah menawan, pelakon Trisha Oii yang mula dikenali menerusi drama Tentang Hati Dia semakin mendapat perhatian penerbit dan pengarah untuk menggalas peranan utama.

Walaupun baru setahun jagung membabitkan diri dalam industri hiburan tempatan, Trisha Oii tidak perlu menunggu lama untuk menyerlahkan bakat yang dimilikinya.

Enggan bersandarkan rupa paras semata-mata, Trisha tidak main-main menceburi dunia lakonan apabila serius menimba ilmu dengan bintang senior agar lakonannya berbekas di hati penonton. 

Justeru, empunya nama sebenar Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 24, terlebih dahulu perlu mengubah karakternya daripada pendiam dan pemalu menjadi lebih ringan mulut  hanya kerana mahu menjadi yang terbaik. 

Ujar Trisha, pengalaman ditegur seorang pelakon wanita senior ketika menjalani sesi latihan untuk sebuah naskhah drama membuka matanya untuk membuang rasa malu dan takut.

“Saya pernah ditegur seorang pelakon wanita senior yang boleh dianggap legenda dalam industri disebabkan saya tidak ‘memberi’ semasa sesi latihan sebuah drama.

“Kata pelakon itu, dia tidak dapat ‘rasa’ watak yang saya lakonkan. Maksudnya, lakonan saya tidak memberi kesan kepada dirinya.

“Sejujurnya, sebagai pelakon baharu, memang saya sangat takut ketika itu,” katanya.

Namun, teguran tersebut tidak membuatkan Trisha berjauh hati sebaliknya menjadi pengajaran kepadanya agar melihat setiap kritikan secara positif.

“Ya, memang saya takut ketika itu. namun saya belajar satu perkara iaitu kena kawal perasaan takut, sedih atau terlalu gembira.

“Setiap kali ditegur, saya akan berfikiran positif. Saya kena tahu, teguran itu disebabkan saya ada berbuat sesuatu yang tidak betul dan kena menerimanya untuk perbaiki diri,” tegas Trisha.

Introvert

Tambah Trisha, selain mengetepikan rasa takut, dia juga perlu membuang sikap pendiam (introvert) terutama ketika berada di set penggambaran supaya mudah bergaul dengan pelakon lain.

“Sebelum ini saya memang seorang yang pendiam di set penggambaran. Namun, saya sedar perlu mengubah sikap supaya lebih mesra dengan pelakon-pelakon lain.

“Lagipun, sebagai pendatang baharu, saya kena ‘ringan mulut’ bertanya supaya dapat ilmu yang saya mahukan.

“Cara ini juga merupakan kaedah terbaik saya untuk mencari keserasian dengan rakan gandingan saya nanti,” ujarnya.

Syarat dan batasan

Pernah dikecam gara-gara dianggap tidak sensitif apabila berani tampil dengan imej berkemban sewaktu membintangi filem Pagari Bulan pada tahun lalu, Trisha juga perlu berlapang dada menerima teguran peminat yang kurang senang melihat penampilannya ketika menjayakan watak baik untuk drama mahupun filem.

Tidak melenting dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya, Trisha menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran untuk meletakkan syarat jika perlu tampil seksi dalam naskhah seterusnya.

Pelakon yang berkebolehan dalam aksi seni pertahanan diri itu mendedahkan ada dilamar membintangi filem yang yang memerlukan dirinya berimej seksi, namun masih mempertimbangkannya. “Memang ada tawaran yang menuntut saya tampil seksi. Tapi saya tak boleh kata tidak mahu atau tak nak buat.

“Cukup kalau saya tahu batas dalam pemakaian dan tidak melakukan adegan-adegan keterlaluan. Ada par (syarat) yang saya tetapkan supaya tidak melebihi batas tersebut.

“Saya akan tolak jika melebihi syarat yang telah ditetapkan, walaupun dibayar dengan harga yang mahal,” ujarnya.

Ketika disoal tentang syarat tersebut, Trisha berkata, seksi yang dimaksudnya adalah jika dia perlu memakai bikini atau melakukan adegan tidak sepatutnya.

“Limit saya kalau disuruh berbikini, saya tidak akan lakukan. Tapi kalau memerlukan saya memakai seluar pendek dan baju tanpa lengan kerana membabitkan babak aksi, saya akan pertimbangkan berdasarkan keperluan watak tersebut.

“Mungkin akan ada yang kata saya tidak sensitif kerana beragama Islam. Namun, saya tetap menjaga batas,” kata Trisha. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok