SEDAR dirinya tidak berbakat dalam bidang lakonan, penyanyi terkenal Anuar Zain mengakui tidak pernah terfikir untuk kembali berlakon selepas kali terakhir muncul menerusi filem Bintang Hati pada 2004 bersama Amy Mastura.
Anuar ketika ditemui semasa konsert AZ40 Up Close & Personal baru-baru ini berkata, dia sedikit pun tidak berasa rindu untuk kembali berlakon walaupun selepas 20 tahun kerana tidak yakin dengan kebolehannya dalam seni lakonan.
Saya langsung tidak rindukan lakonan. Hidup ini sudah cukup sandiwara. Saya tidak pandai berlakon sebenarnya. Bila pengarah sebut ‘action’, saya akan jadi kaku walaupun sudah menghafal skrip,” kata Anuar kepada HibGlam.
Ujar pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain, 53, itu lagi, dia dilahirkan bukan untuk menjadi pelakon, sebaliknya sebagai penyanyi.
Bahkan, adik kepada penyanyi terkenal Ziana Zain itu malu apabila hasil lakonannya pernah dipersenda orang ramai.
Saya tidak dilahirkan untuk jadi pelakon tetapi sebagai penyanyi. Saya jadi malu bila orang ketawakan saya,” jelasnya.
Selepas muncul dalam filem Bintang Hati, Anuar mendedahkan ada menerima beberapa tawaran lain, namun menolaknya dengan baik.
“Tawaran itu tetap ada, tapi saya menolaknya sebab sedar diri, saya tidak berbakat dalam bidang lakonan.
Biarlah bidang ini (lakonan) dipelopori oleh mereka yang berbakat dalam bidang sepatutnya. Sebagai penyanyi, saya akan menyanyi sahaja,” katanya.
Dalam filem Bintang Hati, Anuar memegang watak utama, iaitu seorang wartawan hiburan bernama Izad yang jatuh cinta dengan pengurus artis bernama Tasya, lakonan Amy Mastura.
Selain Bintang Hati, Anuar pertama kali berlakon sebagai penampilan khas dalam filem Soal Hati pada tahun 2000 dengan memegang watak sebagai Roslan. – HIBGLAM