Sarimah Ibrahim impi jadi seperti Michelle Yeoh, Henry Golding

DEMI impian mahu menjadi sehebat Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding, pelakon dan pengacara popular Che Puan Sarimah Ibrahim telah menandatangani kontrak dengan Fiona Cross Management, sebuah agensi bakat yang berpengkalan di London, England.

Menurut Sarimah, 46, langkah tersebut dibuat atas galakkan jurulatih lakonannya, Gerry Grennel selain semangat untuk berlakon kembali membuak-buak membuat kemunculan semula dalam dunia seni.

Selepas setahun jalani kelas lakonan bersama Gerry Grennel jurulatih lakonan yang bekerjasama dengan Tom Cruise, Heath Ledger dan ramai pelakon Hollywood lain, dia percaya dengan bakat saya dan menggalakkan saya mencari ejen bakat di London.

“Bagi saya ini adalah waktu yang tepat selepas saya membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi drama Lelaki Ini arahan Erma Fatima yang disiarkan pada Ramadan ini di TV3.

“Dua bulan saya berada di London dan bertemu dengan ramai ejen, akhirnya saya membuat keputusan untuk bersama Fiona Cross Management. Pihak mereka akan mengguruskan karier berkaitan filem dan drama peringkat antarabangsa,” kata Sarimah ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Ditebak mengapa selepas hampir dua dekad dalam bidang seni baru kini beliau mahu bertapak di peringkat antarabangsa,  dia sangat terinspirasi dengan kejayaan anak-anak Malaysia di peringkat global.

Saya berharap mungkin boleh menjadi seperti Michelle Yeoh atau Henry Golding. Sebab di luar negara kebanyakan karya akan ada watak-watak daripada pelbagai bangsa, tetapi tidak ada yang mewakili Asia Tenggara, jika ada pun tidak begitu ramai.

“Jadi, tidak kira cepat atau lambat, saya mahu mencuba. Jika tidak cuba kita tidak akan tahu. Ini langkah permulaan saya sebagai pelakon Malaysia untuk kembangkan karier di luar negara,” luah Sarimah lagi.

Meskipun bakal mengembangkan karier diperingkat antarabangsa, Sarimah yang merupakan ibu kepada seorang anak itu memutuskan untuk terus menetap di Malaysia.

Walaupun ejen bakat saya di London, saya akan terus tinggal di Malaysia dan tahun ini mahu berlakon lebih banyak karya tempatan selepas 15 tahun berehat daripada lakonan sebelum ini.

“Cuma jika ada kerja yang memerlukan saya terbang ke London barulah saya akan ke sana,” kongsinya.

Bintang filem Puteri Impian 2 itu bagaimanapun menegaskan segala urusan kerja di Malaysia akan diuruskan oleh pihaknya sendiri.

“Kerja-kerja di Malaysia tidak kira lakonan, pengacaraan program televisyen mahupun korporat dan iklan tempatan tiada sebarang perubahan masih diuruskan oleh saya sendiri,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok