DIHUJANI pelbagai kecaman, pelakon Sharnaaz Ahmad memohon orang ramai tidak mencetus dan menyebarkan sebarang spekulasi tidak benar mengenai dirinya tidak lagi mengikuti akaun Instagram Amelia Christie.
Tampil bersuara selepas isu tersebut tular, Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 39, memberitahu ramai salah faham dengan kenyataannya tempoh hari sehingga mula membuat kesimpulan sendiri mengenai hubungannya dengan Amelia.
Saya rasa anda semua salah faham. Jawapan saya itu untuk wartawan, bukan untuk anda di luar sana.
“Sejak awal pun saya tak pernah mengiyakan kepada wartawan mengenai hubungan dengan Amelia. Macam mana pula hendak kata putus?” katanya dalam Instagram semalam.
Pelakon Polis Evo 3 itu juga memberitahu, mencanang kisah peribadi dalam media sosial bukanlah caranya selain meminta orang ramai
“Jadi, kepada yang tahu dan nampak saya dengan Amelia, cukuplah setakat itu.
Hendak canang macam gendang bukan cara saya. Harap perkara ini berhenti di sini.
“Wartawan hanya bertanya dan saya jawab sehabis baik kepada semua,”jelasnya.
Bapa kepada Jebat Jayden itu bagaimanapun turut meminta orang ramai terus menitipkan doa yang baik buat dirinya dan Amelia.
Doa yang baik-baik buat saya, Amelia dan semua orang. Elok-elok ya mamu dan mami semua,” katanya lagi.
Kelmarin, Sharnaaz memilih tidak memberi sebarang komen berkaitan hal peribadi susulan dia dan Amelia saling ‘unfollow’ akaun Instagram masing-masing.
Jelasnya, dia tidak pernah mengiyakan hubungan dengan Amelia kepada umum dan menjelaskan fokusnya ketika ini adalah mencari wang serta membesarkan Jebat.
Terdahulu, Sharnaaz dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Amelia selepas dilihat kerap muncul berdua di beberapa acara hiburan.
Spekulasi tersebut semakin kuat apabila Sharnaaz bercuti di Jepun bersama Amelia, Jebat dan bekas isterinya, Noor Nabila pada tahun lalu.
Selain bercuti, Amelia juga dilihat beberapa kali berkunjung ke rumah Nabila sebelum ini sekali gus menguatkan lagi gosip cinta antara mereka.
Namun, hasil tinjauan HibGlam, kedua-duanya sudah saling tidak mengikuti akaun media sosial masing-masing hari ini.
Sebelum ini, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM