Project: Exit, naskhah bakal cetus fenomena

TIDAK klise dan penuh keremajaan. Demikian frasa tepat untuk menggambarkan suhu naskhah terbaharu berjudul Project: Exit yang bakal disajikan buat pencinta drama tanah air menjelang hujung tahun nanti.

Naskhah inspirasi kisah benar tersebut sarat pengajaran dan putaran plot tidak terduga, selain menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.

Karya sentuhan pengarah hebat Zulaikha Zakaria bertema keremajaan tersebut juga dijangka menjadi penanda aras, sekali gus mampu mencetuskan fenomena seperti drama popular arahannya terdahulu iaitu, Projek: High Council.

Asrama juvana

Menurut Zulaikha, naratif yang dibawa dalam Project: Exit tertumpu kepada kekuatan tema masalah perilaku remaja serta kehidupan asrama sebagai elemen utama disokong plot berat yang menjadikan jalan cerita drama lebih segar.

Project: Exit mendapat sentuhan hebat pengarah muda wanita,  pengarah hebat Zulaikha Zakaria. 

“Betul kali ini memang bertemakan keremajaan dan kehidupan asrama, namun ini bukan tentang remaja dan asrama biasa, tema kali ini mengangkat isu dalam asrama juvana dan pemulihan akhlak.

“Alur cerita pasti berbeza dengan naskhah yang seakan-akan genre itu, fokus watak pula tertumpu kepada semua karakter, tiada yang dominan, semua sama berat. Penceritaan yang kompleks, namun mudah difahami.

“Lagi pun naskhah ini karakternya berkurangan, jadi kita padatkan dan tekankan betul-betul kepada tema yang kita ingin angkat dalam karya ini supaya mesej dan pengajaran sampai kepada penonton,” tuturnya.

Ditanya pengolahan plot dan naratif cerita memandangkan naskhah tersebut menginspirasikan kisah benar, Zulaikha berkata, pihak produksi bekerja keras melakukan kajian terperinci perihal tersebut supaya tema yang ingin diangkat tidak terpesong.

Naskhah ini menyentuh perkara yang ramai orang tak tahu apa terjadi di sebalik sebuah sekolah asrama pemulihan akhlak.

“Kita tidaklah buka semuanya tetapi cukup kuat untuk menjadikan karya ini menarik.

“Dari segi kajian, kami memang menemu ramah beberapa pelajar bawah umur yang melalui episod derita dalam hidup ketika di sekolah juvana mahupun pemulihan akhlak.

“Skrip juga digarap rapi supaya lebih sesuai dengan masyarakat dan natural, tidaklah nanti kedengaran canggung dan susah untuk diterima ramai,” ujarnya panjang lebar.

Menggalas watak Hadi, pelakon Mierul Aiman mengelak skeptikal kejayaan naskhah yang pernah menjadi fenomena, Project: High Council.

Sementara itu, pelakon Mierul Aiman selaku penggalas watak Hadi berkata, cabaran paling utama buatnya adalah untuk menjayakan karakter tersebut supaya tidak kelihatan sama dengan peranan yang pernah dibawa sebagai remaja dalam naskhah sebelum ini.

“Naskhah kali ini betul-betul uji tahap lakonan saya sebab tiada watak yang dominan, semuanya sama rata, setiap karakter mempunyai cerita tersendiri jadi dialognya pun banyak.

Terbawa-bawa

“Saya juga kena cari kelainan dalam berlakon, kena cuba sedaya upaya supaya tidak sama dengan watak Fakhri yang cukup sinonim dengan saya.

“Harapan dan ekspektasi orang terhadap lakonan saya juga berbeza. Jadi itu juga antara cabaran yang saya perlu tempuhi,” jelasnya.

Bercakap tentang karakter, pelakon Shasha Abedul yang menggalas watak Jannah mengakui lakonan kali ini memberi kesan terhadap fizikal dan mentalnya.

“Berat, itu sahaja boleh saya cakap, pada awalnya memang agak susah nak cari titik keseimbangan watak dengan kehidupan sebenar saya.

“Kadang-kadang saya terlalu larut dalam karakter tersebut sehingga terbawa-bawa dalam diri.

Bila saya duduk di rumah seorang diri, masa itulah watak Jannah seolah-olah cuba menguasai diri, mujurlah perkara tersebut tidak berpanjangan, saya sudah boleh tanganinya.

“Ini pertama kali watak berat yang pernah saya lakonkan, susah dan gementar tetapi sangat teruja dapat berlakon dan menimba pengalaman dengan barisan pelakon dan kru produksi yang hebat,” katanya.

Selain Shasha Abedul dan Mierul Aiman, drama berkenaan turut dibintangi pelakon hebat seperti Naim Daniel , Kimberly Chuah, Nabila Huda, Farah Ahmad, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Alur cerita bermula apabila seorang remaja perempuan dengan masalah depresi dihantar ke asrama juvana dan pusat pemulihan akhlak selepas gagal dalam percubaan bunuh diri.

Konflik bermula apabila dia bertemu seorang remaja lelaki dengan penyakit ‘cystic fibrosis’ dan berkomplot untuk lari dari pusat berkenaan. – HIBGLAM 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok