Penyanyi lain boleh ambil lagu sambungan Casablanca – Daqmie

HASRAT komposer Casablanca, Daqmie meneruskan kesinambungan lagu fenomena itu tidak kesampaian apabila syarikat pengurusan penyanyi Naufal Azrin dan Nuha Bahrin tidak memberikan maklum balas sejak setahun lalu.

Begitupun, pemilik nama sebenar Azmee Abdul Manap, 53, itu tidak terasa hati, sebaliknya sudah sedia untuk memberikan nukilan baharu tersebut kepada penyanyi lain.

Katanya, sebagai penggubah lagu merangkap penyanyi, dia profesional memandangkan hanya menjalankan tanggungjawab berkarya seperti diingini label.

“Saya okey saja, urusan membabitkan penyerahan lagu yang sudah saya siapkan itu dilaksanakan antara label dengan syarikat pengurusan kedua-dua penyanyi terbabit.

Daripada makluman syarikat rakaman, karya yang juga kesinambungan lagu Casablanca sudah diajukan sejak tahun lalu.

“Jadi selepas setahun pihak di sana senyap, bermakna lagu baharu ini boleh dibuka kepada penyanyi lain,” katanya selepas melancarkan album baharunya, Ramadan 1445,  semalam.

Casablanca yang merupakan lagu ciptaan bersama Daqmie dan Abdul Karim Al Ali mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tangga teratas Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hits, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music ketika dilancarkan pada Jun 2022.

Malah, karya terbitan Universal Music Malaysia dan Bee GoodMedia itu mencetuskan fenomena tersendiri apabila turut dijadikan muzik latar bagi kebanyakan video dihasilkan pengguna laman sosial.

Sementara itu, mengenai album baharu yang turut membariskan Rabbani serta kumpulan nasyid baharu, Syahmura, sebanyak 500 unit cetakan pertama bagi album fizikal habis disambar peminat.

Menariknya, naskhah tersebut turut melakar sejarah tersendiri apabila mendapat sentuhan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif sebagai penulis lirik.

Mohd. Ariffin yang menggunakan dua nama pena iaitu Mawar Arif dan Abu Sofia meluahkan rasa teruja berkolaborasi menghasilkan dua dendangan iaitu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan.

Gabungan ramai nama besar dalam industri seni tanah air itu juga merupakan langkah awal Daqmie Music Factory menjalinkan kerjasama lebih erat dengan banyak pihak.

“Antaranya adalah kolaborasi dengan Datuk Dr. Ariffin dalam mengembalikan semula kegemilangan genre nasyid di Borneo terutama Sabah,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok