“DIA tak layak dapat perhatian daripada kami.”
Itu kata penyanyi Syamel yang enggan melayan provokasi dilakukan individu yang memfitnah isterinya, Ernie Zakri menjalin hubungan sulit dengan seorang pemuzik.
Kata pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 30, dia dan Ernie tidak pernah terfikir mahu bersemuka dengan individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan mahupun mengambil tindakan undang-undang.
“Sejujurnya saya dan isteri tak nak ambil tahu atau melayan orang sebegini sebab merasakan dia tak layak pun dapat sebarang komen mengenai gangguannya terhadap kami.
“Bukan sahaja berjumpa, kami juga tidak nampak keperluan mengajukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana dia juga tak layak untuk membuang masa kami.
“Jika dibawa ke muka pengadilan, tentu saja menuntut komitmen tinggi. Jadi bagi saya, dia memang tidak boleh diberikan perhatian oleh sesiapa,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Menurut Syamel lagi, dia lebih selesa tidak memanjangkan perkara berkenaan kerana masih bersangka baik bahawa penyebar fitnah terbabit hanya peminat yang obses.
Mungkin orang itu terlampau meminati kami dan menganggap kami kepunyaan mereka. Cuma, harapnya jangan ada yang percaya melulu,” ujarnya.
Kelmarin, Ernie mendedahkan berdepan gangguan daripada seseorang sejak bertunang dengan Syamel empat tahun lalu dan berlarutan selepas mereka bergelar suami isteri.
Kemuncaknya apabila kaki pengendap dalam laman sosial itu mendakwa penyanyi yang juga ibu kepada seorang anak terbabit menjalin hubungan sulit dengan seorang pemuzik, Anwar Amzah.
Mengaggap individu berkenaan ada masalah mental, Ernie, 31, menangkis fitnah itu dan mendakwa pelaku mencemburui perkahwinannya dengan Syamel.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, bergelar isteri Syamel pada 26 Mac 2021 selepas lebih enam bulan mengikat tali pertunangan dan rumah tangga mereka diserikan seorang puteri, Nur Khawla Soleha, 2. – HIBGLAM