KURANG yakin dengan bacaan ketika mengaji, itu antara alasan yang diberi pelakon Datin Lisa Surihani apabila ditawarkan untuk terlibat dalam sebuah program tadarus al-Quran.
Bagi menangani segala kerunsingan tersebut Lisa atau nama penuhnya Lisa Surihani Mohamed, 37, mengambil pelbagai inisiatif dengan menyertai pelbagai kelas mengaji termasuk usaha melawan masalah pelat huruf R.
Beberapa kali dipelawa untuk terlibat dalam program tadarus al-Quran tetapi saya selalu menolak dengan baik sebab terfikir cara bacaan agak merangkak, segan dan banyak lagi alasan diberi.
“Sementara itu, saya pasang niat supaya hubungan dengan al-Quran diperbaiki lagi. Saya cuba sertai kumpulan tadarus bersama qariah kejiranan kawasan perumahan, mengaji online dan mendaftar kelas tajwid serta tadabbur.
Subhanallah memang sukar ditambah pula dengan pelat sebutan huruf R. Syukur saya dikelilingi keluarga dan sahabat rapat yang banyak memberi dorongan,” katanya dalam Instagram.
Bintang filem Istanbul Aku Datang itu turut berpendapat tidak mengapa bacaan kurang sempurna namun sekurang-kurangnya mempunyai usaha untuk menjadikan al-Quran sebagai sahabat baik.
Tahun ini saya berdoa agar dipasangkan niat dengan betul. Anggap ini satu kelas mengaji yang dipantau oleh qari dan qariah.
“Sekiranya penglibatan saya ini dapat membuka pintu hati mereka yang lalui kesukaran seperti saya untuk jadikan al-Quran kawan baik mereka, bukakanlah pintu ruang dan peluang itu utk mereka dan permudah usaha mereka,” jelasnya.
Ujarnya lagi, setiap individu juga tidak perlu terlampau memikikan pandangan negatif orang ramai sekiranya bacaan al-Quran masih kurang mahir.
Tidak perlu fikirkan apa agaknya tanggapan mereka di luar sana yang mungkin kurang positif tetapi lakukanlah semata-mata untuk Allah.
“Penglibatan ini mendebarkan dan mencabar. Terima kasih suami tersayang, Datuk Yusri Abdul Halim kerana menyokong dan menggalakkan.
Difahamkan, program yang disertai Lisa dan memaparkan dia mengaji itu akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti. – HIBGLAM