LEBIH dua dekad mengabadikan diri sebagai anak seni bukanlah satu tempoh yang singkat buat figura bernama Siti Nordiana atau mesra disapa Nana.
Memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun, kredibilitinya sebagai penyanyi tidak perlu dipertikaikan lagi, ditambah pula dengan puluhan trofi anugerah diraihnya sekali gus meletakkan Nana dalam liga tersendiri.
Namun, 25 tahun bergelar penyanyi bukanlah jalan mudah buatnya untuk memiliki sebuah konsert solo berskala besar.
Dalam melestarikan impian, banyak dugaan dan momen penolakan dihadapinya. Segala penat lelah akhirnya terbayar menjelang 11 Mei depan dalam sebuah majlis persandingan gilang-gemilang.
Berkahwin? Benar tetapi jangan panik kerana pasangannya bukan lelaki idaman sebaliknya ribuan peminat yang akan hadir pada acara tersebut.
“Sudah lama saya menanam hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar.
“Bukan sahaja saya tetapi peminat yang menyokong sejak hari pertama bergelar penyanyi juga turut menanti detik istimewa ini.
“Akhirnya penantian saya selama 25 tahun untuk muncul dalam sebuah konsert solo bakal terlaksana iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 11 Mei depan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Anggun menyarung gaun pengantin berona putih, anak kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, acara tersebut merupakan detik istimewa yang akan diraikan bersama-sama para peminat setia.
“Konsert ini terlalu istimewa kerana akan menjadi ‘pelamin’ khas untuk saya raikan kerjaya bersama peminat yang sentiasa memberi sokongan.
“Sebab itu kami kami memilih tema perkahwinan kerana bakal menjadi hadiah buat peminat. Jangan salah faham ya semua,” tutur pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu.
Ujarnya, lebih 20 buah lagu bakal didendangkan pada malam tersebut yang dipetik daripada tujuh buah album solonya.
Antara lagu hits yang bakal dinyanyikan pastinya Memori Berkasih, Cinta Hanya Sandaran, Paling Comel dan Hatiku Milikmu.
“Sangat sukar sebenarnya nak buat pemilihan senarai lagu dan saya memang berharap agar orang ramai membantu serta memberi cadangan mengenainya.
“Selain cadangan ramai, saya juga akan mendendangkan lagu-lagu yang sudah lama tidak diperdengarkan kepada umum seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit dan lagu Kasihmu Seakan Berubah,” jelasnya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM