“MUNAFIK bertopengkan kopiah. Ramai dah jumpa ‘spesis’ begini.”
Demikian kata penyanyi Baby Shima yang sekali lagi menjadi mangsa lelaki miang menghantar mesej berbaur lucah dan keterlaluan kepadanya dalam Instagram.
Terbaharu, penyanyi dangdut itu mendedahkan menerima mesej sebegitu (lucah) daripada seorang lelaki berkopiah yang disifatkannya sebagai munafik.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Shima dalam Instagram miliknya, penyanyi berusia 29 tahun itu berkongsi tangkap layar mesej daripada seorang lelaki berperwatakan alim.
Dalam mesej tersebut, lelaki itu memuji kecantikan Shima dengan memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’ dan ingin bernikah segera dengannya untuk melakukan hubungan seks.
Bengang dengan kelakuan biadab lelaki itu, Shima atau nama lengkapnya Nor Ashima Ramly turut berkongsi sebuah foto lelaki berkenaan sedang mengalunkan ayat suci al-Quran, serta akaun Instagram individu tersebut.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya kesal dan tidak percaya dengan kelakuan lelaki tersebut kerana tidak seiring dengan imej dirinya yang dilihat menjunjung tinggi agama.
Ya Allah, ada sahaja orang penampilannya baik, tapi ucapannya tidak baik,” kata seorang netizen.
“Maaf, orang begini yang menjatuhkan martabat lelaki berkopiah,” kata seorang lagi pengikutnya.
Itu tandanya lelaki tidak menghargai perempuan. Kakak harus berhati-hati lelaki sekarang jangan dilayan. Menjijikkan,” ujar seorang pengguna Instagram.
Sebelum ini, pelantun Bujang Sarawak itu pernah membongkar perbuatan keterlaluan lelaki dalam media sosial termasuk daripada golongan pelajar sekolah sehingga ada mengajak dirinya melakukan hubungan seks luar nikah.
Bagaimanapun, terdapat segelintir netizen menyalahkan Shima atas apa yang terjadi kerana disebabkan imejnya yang dikatakan seksi sehingga ‘mengundang’ nafsu lelaki. – HIBGLAM