TIDAK minta diraikan apatah lagi disambut meriah, cukup untuk dihargai. Itu yang diharapkan Elly Mazlein apabila mula bergiat aktif dalam bidang pengacaraan tiga tahun lalu.
Sebelum ini, wujud khabar angin terdapat segelintir individu yang kurang senang dengan caranya mengendalikan sesebuah rancangan.
Paling teruk sehingga ada yang meluahkan mahu memboikot program dihoskan Elly, begitulah penangan kegilaan Kak Lina Pom Pom.
Tidak berkesudahan di situ, dia juga pernah mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos daripada program All Stars Gegar Vaganza tahun lalu. Keputusannya mencetuskan pelbagai teka-teki sehingga ramai membuat andaian sendiri.
Lama berdiam, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu ketika ditemui HibGlam baru-baru ini bertegas, mana-mana individu yang berada dalam industri, terutama sesama pengacara tidak patut berasakan kehadirannya sebagai pihak lawan.
Bagi Elly, kehadirannya sebagai pengacara sejak beberapa tahun lalu adalah untuk memeriahkan industri selain menggunakan sepenuhnya bakat yang dianugerahkan Tuhan.
Jangan takut dengan kehadiran saya dan usah berilusi serta mencipta sesuatu yang tidak sepatutnya.
“Kita sama-sama mencari rezeki, Allah SWT sudah susun cantik semuanya untuk semua orang, cuma bezanya ialah cepat atau lambat.
“Saya hadir bukan sebagai pencabar sebaliknya mahu bersama-sama mencari rezeki dan tak perlu rasa tergugat apabila bekerja dengan saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Kedengaran seperti meluahkan perasaan yang sudah lama dipendam, Elly bagaimanapun cekap melentur suasana.
Katanya, dia memilih berdamai dengan rasa, menikmati bahagia seadanya berbanding melayan emosi kebencian buat individu lain.
Elly mahu terus melakukan kebaikan meskipun menyedari wujud individu yang tidak menyukai caranya.
Saya jenis boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya okey sahaja jika ada yang tak mahu bercakap atau lalu depan muka tetapi tidak memandang saya.
“Prinsip saya ialah sentiasa berbuat baik dan tiada masa untuk menghakimi orang lain sebab itu bukan cara saya,” tuturnya.
Pelakon naskhah Kampung People itu mengakui turut menyekat segala hal negatif yang berlegar di sekeliling hidupnya.
Dalam hidup ini, saya lebih utamakan kebahagiaan dan sebab itu kepala otak saya tidak sakit.
“Walaupun kadang-kadang ada rasa unsur negatif itu tiba, saya terus sekat dan pilih positif. Bila rasa ada benda kurang baik, saya biarkan pergi,” tegasnya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.