Nikah? Ziana Zain masih ‘single’ – Pengurus

“MANA ada, Ziana Zain masih single sekarang.”

Demikian penjelasan pengurus Ziana Zain mengenai khabar angin bertebaran dalam media sosial bahawa penyanyi terkenal itu sudah menamatkan zaman janda dengan lelaki dikenali sebagai Ustaz Taufik.

Ziana, 56, menerusi pengurusnya, Alin memberitahu, fotografi pelantun lagu Putus Terpaksa itu yang dimuat naik seorang jurusolek terkemuka tanah air hanya untuk tujuan promosi sebuah projek yang belum boleh dikongsi kepada umum.

Dengan Ustaz Taufik memang tiada apa-apa hubungan. Bukan adik mahupun kekasih. Dia hanya seorang peminat yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan (umrah).

“Ustaz Taufik ini dahulu bapanya pernah buat lagu untuk Ziana. Tapi, saya tak ingat apa tajuknya. Yang tengah tular itu, janganlah fikir dan tebak yang bukan-bukan.

Ziana sampai sekarang masih sendiri dan solo. Kalau beliau nak kahwin, tidak akan senyap-senyap tanpa pengetahuan orang ramai,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Ditanya tentang kesahihan gambar berbusana pengantin yang dimuat naik dalam Instagram, Alin berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Saya rasa peminat tegar Ziana tahu gambar itu untuk apa. Bukan sedang menanti hari bahagia (kahwin) tetapi demi kelangsungan karier dalam dunia seni.

“Zaman sekarang, kita (artis-artis lama) pun pandai juga bergimik. Nak tak nak, memang perlu ‘join sekaki’. Orang nak berspekulasi, itu terpulang kepada mereka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Tular dalam TikTok video memaparkan Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain menerima ucapan tahniah oleh netizen.

Dalam video tersebut, Ziana ditata rias sangat jelita dan turut mengenakan busana putih persis pengantin.

Malah, kapsyen video tersebut turut mengundang spekulasi yang mendakwa penyanyi bersuara nyaring itu bakal mendirikan rumah tangga kali kedua.

Ziana Zain pernah bernikah dengan Armin Zaharin pada Mei 1998 dan dikurniakan 3 cahaya mata namun mereka sah bercerai talak satu pada Julai 2018. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok