HAMPIR empat dekad direalisasikan, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac depan disasarkan untuk menjadi malam kemuncak paling ikonik dalam sejarah penganjuran pertandingan itu.
Pengurus Pengurusan Kandungan dan Siaran (Hiburan) TV3, Aizat Nizam berkata, AJL38 bukan hanya menghimpunkan penyanyi dan komposer hebat, bahkan bakal menonjolkan konsep mega bersama tema Muzikaverse.
Tema Muzikaverse adalah gabungan dua perkataan iaitu muzikal dan ‘universe’, sekali gus kami menggabungkan penghibur, komposer dan penulis lirik dalam satu pentas mega.
“Persembahan edisi kali ini sarat dengan kepelbagaian warna yang menterjemahkan sifat keunikan ritma muzik bersama paduan tema diperkenalkan untuk malam kemuncak nanti.
Sudah tentu seperti saban tahun kami menjanjikan kelainan apatah lagi bagi edisi ke-38 yang diharap menjadi paling ikonik menjelang empat dekad AJL direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Meet and Greet Paling Ikonik AJL di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Aizat lagi, sejajar tema ikonik yang diperkenalkan, persembahan pembukaan dan segmen ‘interlude’ juga antara keutamaan buat pasukan produksi.
Ikonik itu bermaksud apabila ditonton nanti, kita akan kagum melihat pengisian yang diterjemahkan, jadi setiap minit itu penting buat penonton,” ujarnya.
Bagi Pengurus Kanan Pengurusan Program dan Siaran, TV3, Marlia Zul Amran pula, pihaknya mengakui penganjuran AJL38 membabitkan kos yang agak besar demi menonjolkan keistimewaan dijanjikan buat khalayak.
“Boleh dikatakan bajet untuk menganjurkan AJL38 lebih daripada kos musim terdahulu, tetapi bukanlah kita sengaja hendak berbelanja besar.
“Kami masih mengambil kira beberapa faktor cuma kenaikan harga barangan serta kos sampingan membuatkan kami perlu rasional,” katanya.
Pada masa sama, Marlia turut mengumumkan jualan tiket bagi menyaksikan AJL38 yang dibuka pada Ahad lalu menunjukkan maklum balas memberangsangkan.
Penjualan tiket yang sebelum ini khusus untuk pelanggan Tonton sudah disambar peminat iaitu sekitar 60 peratus. Mereka yang berminat perlu segera tempah, bimbang nanti kecewa,” ujarnya.
Sementara itu, pada sesi bertemu peminat yang berlangsung enam jam, peminat berpeluang beramah mesra dengan 12 finalis AJL.
Antara finalis yang hadir ialah Ziana Zain, Aina Abdul, Naqiu, Marsha Milan, Khai Bahar, Shiha Zikir, Hasif Upin, Wany Hasrita, Aisha Retno, Ernie Zakri dan Hael Husaini.
Pada acara sama, peminat yang memenuhi ruang legar Pasar Seni turut dihiburkan kumpulan buskers yang menyampaikan rangkaian lagu bagi dipertandingkan pada 3 Mac depan. – HIBGLAM