FILEM Money No Enough 3 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan lebih RM13.86 juta selepas hampir dua minggu ditayangkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengarahnya, Jack Neo terharu dengan sambutan kaki wayang yang telah mengikuti perkembangan naskhah itu sejak 1998, sekali gus menyemarakkan semangatnya menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.
Money No Enough 3 bukan sekadar filem Tahun Baharu Cina tetapi karya ini berkongsi memori tentang persahabatan dan kekeluargaan yang terjalin sejak sekian lama.
“Penerimaan ramai membuatkan saya bersemangat untuk terus bekerja keras menghasilkan filem yang lebih berkualiti dan berjaya,” katanya.
Menurut pengedar, Mega Films Distributions, filem arahan Jack itu menjadi naskhah paling berjaya di Singapura selepas era pandemik.
Bukan hanya di Kota Singa, karya terbitan Hijack Pictures dan MM2 yang memaparkan kisah tiga sahabat baik itu turut mencipta kejayaan di Malaysia selepas ditayangkan pada 10 Februari lalu.
Money No Enough 3 dibintangi Mark Lee, Henry Thia dan Jack Neo sendiri di samping penampilan Patricia Mok dan Xiang Yun. – HIBGLAM