Malaysia dekat di hati – Suniel Shetty

LEBIH tiga dekad mencanai nama dalam industri seni bahkan sudah berlakon ratusan filem, hampir mustahil jika khalayak tidak mengenali bintang Bollywood yang sudah ‘mendunia’, Suniel Shetty!

Keberkesanan lakonan, tidak kira watak sarat aksi, komedi sehinggalah antagonis, semuanya digalas sempurna sehingga menjadi inspirasi ramai, termasuk anak seni tanah air.

Baru-baru ini, pelakon kacak itu berkunjung ke Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan kepada rakan karibnya, seorang pemilik restoran Copper Chimney di Mumbai, India yang kini membuka cawangan di Malaysia bawah nama Copper Grillhouse.

Bukan atas kapasiti duta mahupun wajah kempen, Suniel sebaliknya pelanggan setia yang menyukai semua menu hidangan restoran milik sahabat baiknya itu.

Enggan melepaskan peluang, penulis sempat bersua dengan aktor berusia 62 tahun itu dan bertanya perihal karier, kesihatan dan pendapatnya tentang Malaysia.

Malaysia dekat di hati

Merendah diri selain ramah menjawab soalan disua, aktor yang terkenal dengan filem Dhadkan itu mengakui teruja, malah sering datang ke Malaysia, sama ada untuk bercuti atau menjalani penggambaran filem.

SERING bercuti dan menjalankan penggambaran di Malaysia, Suniel selesa membawa keluarga menerokai pelbagai keindahan alam di seluruh pelosok negara ini.

Setiap kali datang ke sini (Malaysia), perasaan saya sentiasa teruja. ‘Malaysia Truly Asia’, memang itu seringkali disebut dan anda mungkin akan merasai pengalaman manis itu jika benar-benar menghabiskan masa di sini.

“Saya kerap datang ke sini. Malaysia juga antara destinasi kegemaran saya untuk penggambaran filem.

“Waktu saya menjayakan konsert mega G5 di sini suatu ketika dahulu, kebanyakan aktor lain yang turut serta pun turut melalui pengalaman menarik,” ujarnya penuh semangat.

Paling utama kata Suniel, budaya dan sikap murni orang Malaysia yang tidak lokek senyuman, selain peramah menjadi antara faktor dia mudah jatuh cinta dengan Malaysia yang sentiasa dekat di hatinya.

Awal-awal datang Malaysia, saya terkejut kerana sambutan orang di sini sangat memberangsangkan, sentiasa murah senyuman, ramah bertanya khabar selain menunjukkan sokongan padu.

“Perlu saya akui, Malaysia sentiasa dekat di hati, bermula dengan makanan, budaya dan penduduk negara ini.

Semua itu menyenangkan dan selesa, sama ada untuk bercuti dan menjalani penggambaran.

“Tambahan pula, ada banyak tempat menarik dan pulau indah untuk diterokai,” tuturnya panjang lebar.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok