KONSERT Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air yang sepatutnya berlangsung pada 24 Februari ini ditunda ke tarikh baharu iaitu 4 Mei depan bagi menghormati kedatangan Ramadan.
Showpro Entertainment Sdn. Bhd. selaku penganjur menerusi satu kenyataan media berkata, pihaknya prihatin terhadap sensitiviti masyarakat, sekali gus sepakat mengambil keputusan tersebut.
“Tidak ada yang lebih diutamakan penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.
Ini juga selepas mengambil kira faktor perkembangan semasa serta menghormati pandangan masyarakat terutama umat Islam yang akan menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri.
“Paling penting, keputusan penundaan acara ini telah dipersetujui seluruh barisan artis dan pihak terlibat melalui perbincangan yang dilakukan,” kata kenyataan tersebut.
Pihak penganjur turut menukar nama acara itu yang asalnya menggunakan nama Pesta Muzik Kuantan kepada Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air dan disambut baik semua pihak termasuk artis.
Keputusan menangguhkan Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air dipersetujui semua dan kami dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert,” ujarnya.
Konsert tersebut diadakan bagi melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni serta membantu menjana ekonomi menerusi karnival jualan produk tempatan.
Bertempat di Stadium Darul Makmur, gabungan seni muzik dan kebudayaan itu secara tidak langsung dikomersialkan sebagai satu tarikan pelancongan ke Kuantan dan daerah lain di Pahang serta negeri Pantai Timur lain.
Sementara itu, pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan perubahan hanya tarikh konsert iaitu dari 24 Februari ditunda kepada 4 Mei nanti.
Barisan artis juga dikekalkan termasuk kumpulan terkenal Indonesia, Ungu selain Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo, Eda Ezrin dan Aswad Jalil. – HIBGLAM