SEBUAH drama bersiri romantik berjudul Si Jantung Hati yang disiarkan sejak 7 Februari lalu menerusi Astro Ria disifatkan penonton sebagai naskhah berbeza apabila menyelitkan isu pemindahan jantung.
Biarpun kental dengan tema cinta, alur cerita berkisar lelaki bernama Amir iaitu watak dibawakan pelakon Syarul Izani yang terdesak meneruskan hidup sehingga sanggup menerima jantung babi.
Tindakan melakukan pemindahan jantung membabitkan haiwan ‘haram’ tersebut dibuat bagi melambatkan kematian selepas mengenali seorang wanita, Manis (Siti Hariesa).
Drama arahan Zainorhisyam Samudin membawa mesej mengenai ikrar tentang penderma organ yang merupakan sesuatu perkara positif selain mengangkat isu kemanusiaan.
Bagi mengelak salah faham, pihak produksi bertemu dengan JAKIM, IKIM, doktor dan pakar jantung supaya dapat menghasilkan skrip berasaskan fakta.
Selain Syarul Izani dan Siti Hariessa, Si Jantung Hati turut dibintangi Jay Iswazir, Malis, Datuk Jalaluddin Hassan, Fikhree Bakar, Ash Azhan, Razin Qidran, Juliana Evans dan Hakim Khan.
Bagi kedua-dua watak utama, mereka bersetuju beraksi dalam drama ini kerana jalan cerita yang lain selain dapat mengetengahkan pengajaran kepada masyarakat.
KOSMO!: Sebagai pelakon yang memegang watak penerima jantung babi, mengapa awak sanggup menerima tawaran ini?
SYARUL IZANI: Watak ini luar daripada keselesaan saya. Bila tengok skrip, ada benda yang nak diketengahkan dan mempunyai pengajaran.
Jika dalam kehidupan realiti, menukar jantung babi untuk teruskan hidup adalah satu pilihan sangat susah untuk dibuat. Nak selamat teruskan operasi tetapi perlu hidup dengan darah yang mengalir satu badan dipam jantung binatang haram.
Saya harap penonton suka dengan Si Jantung Hati kerana cerita ini ada ‘jantungnya’ iaitu banyak elemen menyentuh kita secara mendalam.
Apakah pesanan anda kepada individu yang sanggup berkorban demi cinta?
Buatlah apa sahaja yang kami rasa setimpal dengan cinta yang membara dalam hati tetapi ingatlah yang cinta kita pada Tuhan dan Rasul itu perlu dahului.
Fahamilah hukum-hakam semasa mahu buat apa sahaja tetapi bawalah diri di dunia dengan cara terhormat dan penuh kasih sayang. Allah pemilik semua hati dan Dia hanya pinjamkan hati si dia itu kepada kita.
Bagi pelakon gandingannya pula, mengapa Siti Hariessa sanggup menerima watak Manis?
HARIESSA: Saya memegang watak Manis yang merupakan seorang sangat memberontak kerana datang dari anak lorong.
Manis juga merupakan seorang anak yang tiada keluarga yang mana hidupnya susah tetapi tetap gembira meneruskan hidup. Watak yang diterima adalah lain daripada lain yang menyebabkan saya bersetuju menerima tawaran berlakon drama ini.
Sekiranya ditakdirkan menggunakan jantung babi, Hariessa sanggup berbuat demikian?
Bagi pandangan saya, pemindahan hati ini menggunakan jantung babi adalah suatu tindakan berisiko kerana melibatkan hukum-hakam agama.
Kalau kita berada dalam keadaan terdesak atau darurat, mestilah kita ambil sebab penyumbang hati dalam dunia sudah tidak ramai.
Namun, kalau diberi pilihan, saya serahkan kepada Tuhan kerana pengakhiran kita sama sahaja. Kita akan kembali juga kepadaNya. Disebabkan cerita ini berkait dengan percintaan, apa pesanan Hariessa untuk orang sanggup berkorban demi cinta.
Bila sedang bercinta memang banyak pengorbanan tetapi yang paling penting keikhlasan dan kesetiaan kerana tidak membuta tuli je.
Saya juga pernah baca artikel mengenai Tuhan bagi kita dua tangan, dua mata, dua kaki, dua telinga dan satu jatung. Mengapa satu?
Jantung kita adalah dariNya dan jantung kedua dari pasangan kita. Jadi, beringatlah bahawa cinta pertama kita adalah Tuhan.