FILEM hebat La Luna sudah ditayangkan di pawagam Malaysia November tahun lalu, namun baru sahaja menjengah platform penstriman Netflix, 9 Februari baru-baru ini.
Penulis baru berkesempatan menonton La Luna dan secara jujurnya, karya garapan pengarah M. Raihan Halim itu sangat luar biasa kemenjadiannya.
Filem berkenaan mengisahkan seorang wanita Hanie Abdullah (Sharifah Amani) yang datang ke sebuah kampung bernama Bras Basah dan membuka kedai pakaian dalam dikenali sebagai ‘La Luna’.
Apa yang dilakukan Hanie ‘menghidupkan’ semula erti kehidupan sebenar buat penduduk kampung Bras Basah yang selama ini hidup di bawah telunjuk orang alim agama bernama Tok Hassan (Wan Hanafi Su).
Banyak adegan dalam filem yang membuatkan jiwa terjentik bahawasanya dalam dunia ini, banyak kebobrokan memerlukan sedikit pembongkaran.
Orang yang berserban atau selalu menghabiskan masa di rumah agama tidak semuanya betul. Ada segelintir yang hanya bersembunyi di sebalik topeng agama demi kuasa, wang ringgit dan pengaruh.
Senario itu ditonjolkan cukup berkesan menerusi karakter Tok Hassan. Bagaimana ‘empayar’ Tok Hassan dirobohkan, itu semua audiens perlu menghabiskan sendiri tontonan yang hanya berdurasi 99 minit.
Sementara itu, Sinergi lakonan antara Hanie dan Salihin (Shaheizy Sam) memang luar biasa. Emosi, lontaran dialog bersahaja dan keserasian mereka berdua memang berstatus chef’s kiss.
Sinergi pelakon pembantu iaitu Ayob (Nam Ron) dan Enah (Farah Ahmad) juga adalah apa yang membuatkan La Luna cukup sempurna daripada pelbagai sudut penting sesebuah filem.
Begitu juga kualiti lakonan yang ditonjolkan Hisyam Hamid sebagai Pa’at dan Nadiya Nissa (Yam). Frasa syurga itu di bawah tapak kaki suami itu ada betul dan ada salahnya.
Kalau suami ‘naik tangan’ tak tentu hala, mungkin tapak kaki bukan tempat letaknya syurga seseorang wanita bernama isteri.
Seperkara lagi, kelibat pelakon muda yang membawakan karakter Azura antara yang berlegar di fikiran hingga sekarang. Sangat bersahaja, bagai sudah berpuluh tahun bekerja sebagai seorang pelakon. Hebat Syumaila Salihin!
Sinematografi dalam La Luna juga adalah apa yang membuatkan filem ini luar biasa kemenjadiannya berbanding lambakan naskhah lokal lain.
Sekarang La Luna sudah terbentang dalam Netflix dan merupakan filem nombor satu setakat artikel ini ditulis.
Sejujurnya, ini adalah filem Melayu yang kualitinya sangat luar biasa dan wajar diberikan perhatian secukupnya. – HIBGLAM