MENGHILANG tanpa khabar berita. Itu gambaran tepat buat Pierre Andre yang sedekad menyepi daripada industri seni tanpa memaklumkan puncanya.
Tahun demi tahun, anak kepada seniwati senior, Khatijah Tan itu berdiam tanpa hitam putih, sama ada mahu berhenti atau berehat daripada kerjaya yang pernah menjadi kecintaannya.
Tidak hanya tanpa produk seni, Pierre yang sebelum ini mendapat jolokan King of Horror juga tidak aktif dalam media sosial. Ramai tertanya-tanya ke mana perginya anak seni berbakat besar itu.
Usahkan orang luar bahkan si ibu sendiri tidak tahu punca sebenar keengganan putera sulungnya meneruskan karier seni 10 tahun lalu.
Begitupun, 2024 membawa sinar baharu buat anak jati Kuala Lumpur itu apabila kembali terbuka hati turun semula ke gelanggang yang pernah ditinggal.
Bukan sekadar tangkap muat, kali ini dia kembali duduk di kerusi pengarah membikin naskhah Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu yang menjalani penggambaran sejak 19 Februari lalu.
Naskhah tersebut adalah kesinambungan dari filem lakonannya yang pernah menjadi fenomena sekitar 2007 berjudul Jangan Pandang Belakang.
Awalnya, filem berkenaan sepatutnya ditangani Ahmad Idham, namun semuanya berubah apabila Pierre pula diminta mengisi tempatnya duduk di kerusi pengarah.
“Saya cuba untuk tidak lari daripada garapan Ahmad Idham dalam filem ini yang dimulakan belasan tahun lalu, tetapi saya juga ada identiti sendiri sebagai pengarah.
Tempoh 17 tahun memang lama untuk buat balik filem tersebut. Secara jelasnya, saya masuk ketika projek ini sudah 80 peratus dilaksanakan.
“Sebelum ini ada dengar David mahu hasilkan Jangan Pandang Belakang 2 dan pengarahnya Ahmad Idham, cuma saya tidak tahu masalah sehingga berlakunya rombakan,” katanya.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Mohd. Pierre Andre Nazrul Andre itu akui, hanya mencantikkan jalan cerita dengan kelebihan yang ada sebagai seorang sutradara.
“Tidaklah saya kata 80 peratus disiapkan Ahmad Idham tetapi ada pasukan yang menghasilkannya sebelum ini.
Skrip semua sudah siap semasa saya masuk. Saya tukar dan olah perbaiki mana yang perlu kerana benda sudah bagus, saya cantikkan.
“Nanti orang kata Jangan Pandang Belakang seronok tetapi masuk yang kedua jadi biasa. Itu tanggungjawab yang berat,” jelasnya. – HIBGLAM