Kerohanian, kebudayaan bersatu dalam Konsert Zikir Dikir

SEBUT sahaja mengenai konsert, lazimnya kebanyakan orang akan berfikiran penganjuran acara sedemikian menjurus kepada hiburan semata-mata.

Namun, tanggapan sedemikian beransur-ansur cuba dipadam apabila segelintir penggiat seni cuba menerapkan unsur kerohanian.

Bagi mencipta kelainan, penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun tampil dengan idea baharu dengan menggabungkan alunan zikir dan dikir barat dalam sebuah pentas yang dinamakan Konsert Zikir Dikir.

Bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, persembahan yang bakal diadakan pada 3 Mei itu turut menampilkan legenda dikir barat, Halim Yazid.

LEGENDA dikir barat negara, Halim Yazid popular dengan lagu Anak Tupai.

Selaku penganjur, Hafiz memilih Halim untuk bersama-sama memeriahkan konsert demi mengangkat kebudayaan tradisional masyarakat Melayu di Kelantan.

“Ramai juga pendikir barat dalam YouTube tetapi saya lebih tertarik dengan Halim sebab persembahannya sarat dengan mesej positif bersesuaian dengan konsert ini.

Bila lagi saya mahu angkat legenda? Halim pula bukan nama asing dan cukup dikenali khususnya dalam kalangan peminat di Pantai Timur.

“Kita kenal Mak Yong, Mek Mulung dan ghazal tetapi jarang ketengahkan dikir barat ke tahap lebih tinggi,” katanya yang juga akan melakukan persembahan pada konsert itu nanti.

Berkongsi lanjut mengenai ikon yang popular dengan lagu Anak Tupai itu, pemilik nama lengkap Mohammad Hafiz Hamidun, 40, sudah lama mengidam berkongsi petas dengan Halim.

Selepas mendapat kelulusan dana daripada kerajaan, anak jati Perak itu terus menghubungi Halim untuk melamarnya dalam Konsert Zikir Dikir.

“Saya kenal Halim sudah 10 tahun tetapi kami tidak pernah digandingkan dalam satu persembahan walaupun sering bertemu apabila ke Kelantan. Pernah juga terdetik untuk berkongsi pentas dengannya.

Apabila saya buat panggilan dan ajak dia menyertai konsert ini, dia terus bersetuju. Konsert akan merangkumi tiga segmen iaitu kerohanian, kebudayaan dan zikir serta dikir.

“Kerajaan pula buka Dana Kandungan Digital (DKD) melalui MyCreative Ventures, saya pun ambil peluang mencuba nasib dan berjaya. Maka tercetuslah idea menganjurkan Konsert Zikir Dikir ini,” ujarnya lagi.

HAFIZ bersyukur dan terharu impian untuk berkolaborasi dengan Halim akhirnya bakal jadi kenyataan.

Sementara itu, Hafiz yang pada awalnya ingin merealisasikan konsert itu di Kelantan terpaksa mengubah lokasi di Terengganu atas beberapa faktor dan berharap menerima ramai pengunjung dari Pantai Timur.

“Rancangan awal kami mahu buat program ini di Kelantan kerana negeri tersebut lebih signifikan dengan dikir barat.

Bila difikirkan semula, tidak salah jika persembahan unik ini dibawakan di Terengganu. Orang Pahang dan Kelantan juga boleh datang memeriahkan suasana.

“Kebetulan pula konsert dijalankan pada akhir bulan Syawal. Jadi, kami berharap ramai hadir terutamanya orang Pantai Timur,” tuturnya.

Hafiz yang juga pemilik Arteffects Sdn. Bhd. memaklumkan, konsert tersebut boleh menampung sebanyak 1,280 penonton dan akan berlangsung selama dua jam setengah dengan kira-kira 15 lagu dipersembahkan.

Selain itu, tiket dijual pada kadar berpatutan bermula RM58 hingga RM258 dan bermula 21 Februari lalu.

Selain Hafiz dan Halim, konsert tersebut turut menampilkan penyanyi Aiman Sidek, Halim Ahmad dan juga Dikir Barat Seri Tok Kaya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok